Seorang lelaki tidak menyangka keberkesanan aplikasi StudentQR ciptaannya untuk merekod sahsiah dan berjaya mengubah sikap nakal pelajar membuatkan teknologi ciptaan anak tempatan itu semakin menjadi rebutan di Jepun, Indonesia dan Amerika Syarikat (AS).
Aplikasi itu memberi tumpuan kepada kod QR murid di sekolah dan di rumah dengan integrasi AI dan analitik tingkah laku murid di samping membangunkan penyelesaian inovatif yang telah mendapat pengiktirafan termasuk integrasi Lencana QR pertama di dunia yang boleh dijahit pada baju murid, tahan basuhan dan peluntur.
Sistem sama turut digunakan bagi menyelaras urusan pentadbiran sekolah termasuk pengurusan bayaran yuran dan koperasi secara digital, sekali gus menjadikan pengurusan lebih teratur, cekap dan sistematik.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Jaxer Digital Sdn. Bhd., Syed Huzaifah Syed Omar berkata, teknologi itu bukan sahaja berjaya bertapak di Malaysia, malah menjangkau sekolah-sekolah luar negara yang memberi manfaat kepada lebih 1.4 juta pelajar.
Katanya, selain menyimpan maklumat peribadi, aplikasi itu akan menjadi ‘lubuk’ markah murid dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan & Kokurikulum (PAJSK), setiap sikap baik akan direkodkan oleh ibu bapa dan guru berserta gambar sebagai bukti kelakuan.
“Aplikasi ini mementingkan keselamatan maklumat daripada disalah guna kerana ia hanya dapat diakses oleh ibu bapa, guru sekolah dan pejabat pendidikan daerah berkenaan. Kalau orang lain imbas QR, ia hanya paparkan nama, sekolah dan nombor telefon kecemasan.
“Kami menggunakan sistem sekuriti Amazon Web Services yang teguh dan sukar untuk ditembusi, sebab itu banyak sekolah luar negara berminat termasuk hampir 42 buah sekolah di Osaka, Jepun telah menggunakan aplikasi ini,” katanya ketika ditemui K-Tekno baru-baru ini.
Menurut Syed Huzaifah, dia bangga kerana aplikasi itu memberi impak positif kepada ramai murid terutamanya yang bermasalah disiplin dan keciciran kerana mereka akan mendapat ganjaran dan anugerah di akhir tahun termasuk hadiah bercuti dan makanan percuma.

Tambahnya, mereka dikehendaki menyelesaikan tugasan berbuat baik seperti tidur awal, kurangkan gajet, bangun pagi, solat, tolong ibu bapa, membaca dan tidak melakukan isu disiplin selama sebulan untuk dimuat naik ke dalam aplikasi tersebut.
“Hasilnya kita berjaya ubah sikap mereka dengan hanya mengumpan ganjaran menarik. Kesemua mereka berjaya melakukannya kerana lumrah manusia suka kepada ganjaran jika melakukan kebaikan,” katanya.
Ujar Syed Huzaifah, walaupun pada awalnya mereka mungkin berpura-pura tetapi kebaikan yang dilakukan selama sebulan akan mengubah mereka juga akhirnya.
“Setakat ini, sebanyak 960 sekolah di seluruh negara sudah menggunakan aplikasi ini termasuk di Pahang, Johor, Perak, Selangor, Melaka dan Sabah. Menjelang 2027, StudentQR akan berada di semua sekolah di Malaysia.
“Dalam tempoh 10 tahun akan datang, StudentQR ini boleh dijadikan kad pengenalan murid di mana kegunaannya lebih meluas termasuk penyimpanan kredit, kitar semula pakaian atau buku, rekod kedatangan dan sijil berhenti sekolah.
“Aplikasi ini semakin mendapat tempat termasuk ketika majlis peluncuran Program Adat dan Identiti Murid Pahang disempurnakan Yang Teramat Mulia, Tengku Tan Sri Meriam Ahmad Shah di Kuantan pada 9 Februari lalu,” katanya.

Menurut Syed Huzaifah, salah satu sebab aplikasi itu direka ialah dia melihat karakter sebenar murid dibentuk bermula dari rumah dan sekolah hanya tempat mereka belajar serta memperbaiki sahsiah.
“Jadi, segala aktiviti baik yang dilakukan di rumah boleh dimuat naik ke dalam aplikasi ini oleh ibu bapa sebagai markah tambahan untuk anak-anak.
“Ia juga meringankan beban guru kerana mereka hanya perlu mengisi kehadiran dan rekod pelajar dengan lebih pantas tanpa perlu menyalin semula daripada kertas ke komputer di pejabat dan boleh berfungsi ketika tiada akses internet,” katanya.
Tambahnya, idea asal aplikasi itu tercetus memandangkan dia juga antara murid nakal di sekolah satu ketika dahulu.

“Saya terbayang dan memikirkan solusi terbaik mengatasi masalah disiplin seperti mana yang saya alami di sekolah, maka tercetuslah idea ini,” katanya.
Jaxer Digital Sdn. Bhd., turut bekerjasama dengan institusi terkemuka untuk mengukuhkan kredibiliti dan skalabiliti seperti Kementerian Pendidikan, Yayasan Didik Negara, Yayasan Raja Zarith Sofiah, Johor selain penerima geran inovasi Cradle Fund dan Superb Teraju.
Selain Jepun, StudentQR digunakan di AS untuk program pembentukan murid Positive Behavior Intervention and Support manakala di Indonesia pula ialah program 7 Kebiasaan Anak Indonesia Hebat.














