BANDAR RAYA MEXICO – Tentera Mexico mengumumkan mereka membunuh raja dadah Nemesio ‘El Mencho’ Oseguera dalam operasi yang mencetuskan gelombang keganasan di banyak kawasan di negara berkenaan.
Oseguera yang merupakan ketua Kartel Generasi Baharu Jalisco dan berusia 59 tahun, cedera dalam pertempuran dengan tentera di bandar Tapalpa, negeri Jalisco. Dia meninggal dunia semasa diterbangkan ke Bandar Raya Mexico, kata tentera dalam satu kenyataan semalam
Semasa hidupnya, Amerika Syarikat menawarkan ganjaran AS$15 juta(RM58 juta) untuk penangkapan El Mencho.
Susulan serbuan tentera, lelaki-lelaki bersenjata bertindak menyekat lebih 20 jalan di barat negeri Jalisco, termasuk Tapalpa, dengan sebilangan kereta dan trak dibakar. Keganasan itu turut merebak ke negeri-negeri lain.
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum menggesa rakyat untuk bertenang dan berkata, kerajaan pusat sedang berkoordinasi dengan negeri-negeri.
El Mencho ialah salah seorang raja dadah terbesar Mexico yang ditumpaskan sejak penangkapan pengasas kartel Sinaloa, Joaquin ‘El Chapo’ Guzman dan Ismael Zambada.
Kedua-dua mereka kini menjalani hukuman penjara di Amerika Syarikat.
Menurut tentera Mexico, enam suspek lelaki bersenjata kartel selain El Mencho terbunuh dan tiga askar cedera.
Dua suspek kartel ditangkap dan pelbagai senjata dirampas, termasuk pelancar roket yang mampu menembak jatuh kapal terbang dan memusnahkan kenderaan berperisai, kata tentera. – AFP














