PETALING JAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memberi keterangan kepada Jawatankuasa Khas Siasatan berkaitan pemilikan saham pada Khamis lalu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Azam dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung pemilikan 17.7 juta saham dengan harga belian RM1.416 juta dalam syarikat Velocity Capital Partner Bhd.
Katanya, berdasarkan laporan awal yang diterima, jawatankuasa sedang meneliti aspek pematuhan dan keteraturan Azam berhubung pemilikan saham tersebut.
“Jawatankuasa juga masih dalam proses menilai keterangan yang diperoleh dan akan memanggil saksi-saksi berkaitan bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jawatankuasa khas itu memberi jaminan bahawa siasatan menyeluruh akan dilaksanakan secara telus, bebas dan profesional.
Hasil siasatan dan syor pertimbangan bagi tindakan selanjutnya akan dikemukakan kepada pihak berkuasa termasuk sekiranya wujud pelanggaran terhadap mana-mana undang-undang atau peraturan yang berkuat kuasa.
Media sebelum ini melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan bagi menyiasat isu pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.
Turut menganggotai jawatankuasa tersebut ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Azam bagaimanapun menegaskan pegangan saham bernilai RM800,000 dalam syarikat perkhidmatan kewangan itu dibuat secara telus dan mengikut prosedur. – KOSMO! ONLINE














