KUALA PILAH – Wanita berusia 50an yang ditahan selepas menikam leher ibunya sendiri dalam kejadian di Kampung Segineh, Inas, di sini semalam direman selama tujuh hari.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, reman dibuat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) oleh Majistret Tampin, Mohamad Redza Azhar Rezali.
“Suspek tidak mengalami sebarang kecederaan, namun, reman dibuat di hospital susulan suspek mengalami masalah kesihatan mental untuk rawatan serta tindakan lanjut.
“Reman dibenarkan selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 27 Februari ini. Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu, Kosmo melaporkan, seorang warga emas berusia lingkungan 80an cedera di leher selepas ditikam anak perempuannya sendiri dalam kejadian di Kampung Segineh, Inas malam tadi.-KOSMO! ONLINE














