PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia meminta tempoh seminggu untuk memberikan jawapan berhubung tawaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi menyertai skuad kebangsaan ke Piala Thomas April depan.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei memaklumkan perkara tersebut selepas pihaknya mengadakan pertemuan dan perbincangan bersama Zii Jia di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Chong Wei berkata, biarpun masih belum mendapat kata putus daripada bekas juara All England itu, namun sekurang-kurangnya beliau tahu mengenai kondisi serta tahap fizikal pemain berkenaan.
“Setakat ini semuanya baik sahaja dan kita sudah berbincang dengan Zii Jia serta jurulatihnya, Liew Daren dan juga (Goh) Jin Wei. Dia akan berikan maklum balas, mungkin dalam tempoh seminggu.
“Sekurang-kurangnya sekarang kita tahu kondisi dia bagaimana. Zii Jia beritahu kedaannya masih belum 100 peratus, jadi kita harap dia boleh kembali cergas sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di ABM semalam.
Sebelum ini, BAM menghantar jemputan kepada Zii Jia dan beregu lelaki profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani bagi membentuk pasukan terkuat untuk menamatkan kemarau lebih tiga dekad dalam saingan Piala Thomas.
Tambah Chong Wei, kehadiran Zii Jia dalam pasukan amat diharapkan kerana dia mampu memberikan tonik tambahan kepada pemain-pemain lain berdasarkan pengalaman luas dimiliki di pentas tertinggi.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan keputusan memanggil Jin Wei adalah permintaan daripada Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan, Kenneth Jonassen yang melihat dia mampu memikul tugas selaku perseorangan ketiga bagi skuad Piala Uber.














