REMBAU – Dua beradik lelaki maut selepas kenderaan Perodua Aruz yang mereka naiki dilanggar sebuah treler yang hilang kawalan dari arah bertentangan di kilometer 19, Jalan Seremban – Tampin, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Hasani Hussain berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, kemalangan membabitkan treler jenis Volvo dipandu lelaki berusia 31 tahun dan Perodua Aruz dinaiki tiga lelaki termasuk dua beradik itu.
Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati semasa kejadian treler dari arah Seremban menghala ke sebuah kilang di Rembau, namun, apabila sampai di lokasi kemalangan dipercayai tayar hadapan sisi kanan treler telah pecah.
“Treler berkenaan hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar SUV dari arah Tampin menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabas.
“Pemandu Aruz berusia 24 tahun dan adiknya disahkan maut di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Ujar Hasani lagi, penumpang hadapan Aruz merupakan rakan kepada dua beradik itu mengalami kecederaan patah tangan kiri dan masih mendapatkan rawatan di zon kuning Hospital Tuanku Jaafar, Seremban. -KOSMO! ONLINE














