KLUANG – Penduduk di Simpang Renggam, di sini melahirkan rasa syukur tidak terhingga apabila akhirnya menerima hujan selepas kira-kira dua bulan kawasan itu ‘kering-kontang’, khususnya di Empangan Machap.
Omar Md Jasan, 52, berkata, penduduk sememangnya sudah lama menantikan saat itu dan berharap hujan berkenaan dapat meningkatkan kapasiti air di empangan tersebut, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan.
Jelasnya, penduduk amat berterima kasih atas usaha gigih kerajaan negeri Johor dalam menyelesaikan masalah bekalan air bersih yang terjejas sebelum ini antaranya menyediakan puluhan lori tangki air di Simpang Renggam, Benut atau Pontian.
“Pembenihan awan yang bermula 11 Februari di sekitar kawasan Empangan Machap serta solat sunat Istisqaq oleh penduduk bukan hanya di Simpang Renggam juga akhirnya membuahkan hasil,” katanya kepada Kosmo!, hari ini.
Hidayah Atan, 47, dalam pada itu berkata, bekalan air berjadual yang dikeluarkan oleh pihak Ranhill SAJ Sdn. Bhd. sebelum ini juga masih berjalan mengikut ketetapan.
“Diharapkan hujan turun lebih di Empangan Machap. Jika turun di kawasan kampung atau pekan Simpang Renggam yang jauh dari empangan, sukar untuk mengubah keadaan sekarang ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














