KUALA SELANGOR – Kerajaan disaran melantik lebih banyak kedai runcit koperasi sebagai ejen sah bagi membolehkan penerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) membeli barangan keperluan asas.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, hanya 109 kedai atau kurang lima peratus daripada
3,600 kedai koperasi berdaftar sebagai ejen program MyKasih.
“Kita mahu kedai koperasi termasuk koperasi masjid, sekolah dan kampung diberi kebenaran serta dilantik sebagai ejen. Penebusan bantuan Sara ketika I I masih terhad dan diharap dapat diperluaskan, ” katanya ketika ditemui pada program Sentuhan Kasih Ambang Ramadan di Tanjong Karang di sini, hari ini.
Menurut beliau, langkah itu penting kerana majoriti penerima bantuan adalah golongan B40 di kawasan luar bandar seterusnya penerima tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pasar raya.
Justeru, Abdul Fattah menyasarkan 1,000 kedai koperasi didaftarkan tahun ini yang turut memberi impak positif kepada ekonomi rakyat setempat dan menstabilkan harga barangan.
Dalam perkembangan berlainan, Abdul Fattah berkata, pihaknya mengenal pasti enam tanaman utama yang akan diberi tumpuan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan import.
“Kesemua tanaman itu adalah jagung bijirin, kelapa, cili, kobis, bawang dan halia yang menjadi antara komoditi penting dalam usaha gantian import,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














