IPOH – Pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan menuju arah selatan panik apabila laluan tersebut dinaiki air lewat petang tadi.
Menurut perkongsian video oleh pengguna aida.btrsya di Thread, terdapat pemandu kenderaan yang cuba meredah kawasan tersebut biarpun dinaiki air.
Selain itu, terdapat pemandu yang keluar dari kenderaan masing-masing untuk melihat jalan yang digenangi air.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai yang berhasrat mahu menggunakan laluan tersebut untuk pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baru Cina dan Ramadan.
Seorang pengguna Thread bernama fikra.hazim berkata, air surut pada pukul 8.30 malam tadi dan menasihatkan orang ramai agar tidak perlu bimbang untuk menggunakan laluan tersebut.
“Alhamdulillah, dah surut air di (kawasan) situ. Aku baru lalu tadi pukul 8.30 malam. Selamat,” katanya di ruangan komen hantaran berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, laluan menghala Kuala Kangsar masih lagi berdepan kesesakan lalu lintas.
Seorang lagi pengguna Thread, izreennasa turut memuat naik video keadaan di lokasi sama yang dinaiki air semalam.
“Sampai (aplikasi) Waze pun pening nak gunakan laluan mana, tetapi pagi tadi ikut laluan sama okay sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE














