KUALA LUMPUR – Kira-kira 100 individu terdiri daripada mahasiswa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia berhimpun secara aman di hadapan pusat beli-belah Sogo di sini hari ini bagi menuntut siasatan telus terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Dalam himpunan tersebut, para peserta membawa sepanduk dan plakad yang menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan bebas dan menyeluruh bagi memastikan integriti institusi penguatkuasaan negara terus terpelihara.
Laungan ‘Tangkap Azam Baki’ bergema di sekitar kawasan berkenaan, namun perhimpunan itu terkawal dan dipantau pihak polis bagi memastikan ketenteraman awam tidak terjejas.
Terdahulu, menurut laporan media asing, Azam dikatakan memiliki 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari 2025.
Nilai pegangan itu dianggarkan hampir RM800,000 dan nama Azam masih tersenarai dalam daftar pemegang saham Velocity Capital di SSM yang boleh diakses melalui pangkalan data berbayar dan dikemas kini secara berkala. – KOSMO! ONLINE














