PETALING JAYA – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan masih sesak walaupun orang ramai mula bercuti sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan persiapan menyambut 1 Ramadan.
Seorang pengguna media sosial, Rohayahrani, memaklumkan keadaan di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara masih perlahan dan tidak menunjukkan tanda-tanda lengang.
“Ingatkan dah clear (lancar)… masih jem (sesak) Lebuh Raya Utara-Selatan hala utara,” katanya.
Bagaimanapun, situasi berbeza dilaporkan di sekitar Klang dan Shah Alam yang dikatakan agak ‘relaks’.
“Memang lengang. Baru kejap hantar anak pergi kerja part time (sambilan) di Central i-City. 10 minit saja dari Klang. Heaven (syurga),” ujar Nanizulyani.
“Seksyen 7, 9, 13, 14, 15 dan seksyen lain semua sama sahaja macam hari biasa. Emosi lebih sikit sebab ada yang tidak beri isyarat dan kurang peka ketika menggunakan bulatan. Hampir lima kali nyaris kemalangan hari ini,” kata K Shutterbug.
Sementara itu, pihak Plus Malaysia Berhad masih belum mengemas kini laporan trafik terkini berhubung situasi lebuh raya utama sempena cuti sekolah dan sambutan Tahun Baharu Cina.
Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal serta mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini sepanjang musim perayaan dan cuti persekolahan ini. – KOSMO! ONLINE














