SEJAK mempelajari tentang manusia purba ketika di bangku sekolah, penulis tidak pernah terfikir akan berpeluang menjejakkan kaki ke tapak sebenar penemuan arkeologi bersejarah itu.
Lawatan itu membawa penulis meneroka beberapa gua dalam kawasan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Lembah Lenggong, Perak yang masyhur dengan khazanah prasejarahnya.
Lokasi tersebut merupakan tapak penemuan rangka manusia, alat batu serta lukisan dinding yang membuktikan kehidupan manusia ribuan tahun lalu.
Menerusi Kelab Eksplorasi Lenggong Perak dengan kerjasama Think City, pengalaman itu dapat direalisasikan.
Secara keseluruhan, terdapat 71 gua di Lenggong, namun hanya 12 gua dibuka kepada pelawat komersial.
Sementara selebihnya masih belum dibuka kerana lokasi yang ekstrem dan memerlukan pengesahan keselamatan daripada pihak berwajib seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
Selain itu, terdapat empat gua tambahan yang boleh dilawati, namun jarang menjadi pilihan kerana perlu pergi secara berasingan dengan kenderaan.
Apabila penulis mula melangkah masuk ke dalam gua, suasana gelap dan sunyi seolah-olah menyelubungi seluruh ruang, hanya ditemani bunyi titisan air yang bergema perlahan.
Hati terasa kerdil dan kagum, seakan-akan sedang menelusuri lorong masa yang membawa kembali ke zaman ribuan tahun dahulu.

di dalam gua.
Dalam kesamaran cahaya, penulis membayangkan kehidupan masyarakat purba yang pernah berteduh dan berlindung di situ.
Penulis juga berpeluang melihat lukisan purba asli yang masih kelihatan di dinding gua dipercayai dihasilkan oleh manusia zaman purba antaranya di Gua Batu Putih.
Selain Gua Batu Putih, antara gua yang dibuka kepada pengunjung itu ialah Gua Teluk Kelawar, Gua Tiga Lapis, Gua Pentas, Gua Ular, Gua Ngaum, Gua Puteri, Gua Asar, Gua Kajang, Gua Gelap, Gua Memerang dan Gua Kubah.
Sementara itu, wakil Kelab Eksplorasi Lenggong Perak, Mohamad Azlin Abdul Karim menjelaskan aktiviti penerokaan di gua ini terdiri daripada tapak arkeologi yang menempatkan lukisan dan penemuan sejarah.
“Beberapa gua memerlukan peserta untuk mendaki atau memanjat sedikit. Misalnya Gua Puteri yang memerlukan pendakian kira-kira 94 meter dari aras laut,” katanya kepada CitaRasa.
Gua-gua di Lenggong juga berkait rapat dengan geografi kerana terletak di banjaran yang sama iaitu Banjaran Bukit Kepala Gajah.

Peserta boleh memilih sama ada ingin meneroka enam gua sahaja atau menjelajah 12 gua sekali gus.
Biasanya, aktiviti penerokaan gua akan bermula dengan melihat tapak arkeologi di gua terlebih dahulu, sebelum dibawa ke Galeri Arkeologi Lembah Lenggong untuk melihat rangka dan bukti penemuan sejarah.
Menurut Mohamad Azlin, pihaknya tidak mengehadkan usia atau jumlah peserta untuk ekspedisi gua dan lawatan ke Galeri Arkeologi Lembah Lenggong.
Bagi kumpulan kecil di bawah lima orang, pihak Kelab Eksplorasi Lenggong Perak menyediakan kenderaan untuk membawa peserta ke gua dan galeri.
Jika kumpulan lebih besar, peserta perlu menggunakan bas sendiri atau membawa kenderaan sendiri.
Untuk makluman, setiap ekspedisi diuruskan secara teliti termasuk penginapan dan makanan, jika pelawat bermalam di kawasan Lenggong.
Segala peralatan keselamatan disediakan, namun para peserta digalakkan memakai pakaian yang sesuai bagi aktiviti lasak.
“Kepada orang di luar sana yang ingin menyertai ekspedisi, mereka boleh mendapatkan maklumat di TikTok, Facebook dan Instagram kami.
“Mereka juga boleh menghubungi kami secara terus melalui media sosial atau mendapatkan rekomendasi daripada muzium dan pejabat arkeologi,” kongsinya.














