PETALING JAYA – Pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke Kuala Lumpur berdepan kesesakan susulan pertambahan kenderaan orang ramai pada hari ini, sempena cuti Tahun Baharu Cina dan menyambut puasa 1 Ramadan.
Menerusi keluhan pengguna lebuh raya itu di media sosial, mereka berkongsi pengalaman ‘tersangkut’ di dalam kesesakan sebaik keluar dari Plaza Tol Skudai menuju ke arah utara iaitu menghala Kuala Lumpur.
“Yang dari JB (Johor Bahru) nak ke KL (Kuala Lumpur) tu, good luck (semoga berjaya). Keluar-keluar tol Skudai terus sangkut beb,” menurut kapsyen pada gambar dimuat naik pengguna Thread Mrsslashy pada pagi tadi.
Pada gambar tersebut, Mrsslashy berada di laluan menghala ke arah selatan, manakala kelihatan deretan panjang kenderaan berdepan kesesakan di laluan bertentangan menghala ke Kuala Lumpur.
Seorang pengguna Thread Yasyifayanuar turut memberi maklum balas di bahagian komen dengan berkongsi gambar keadaan kesesakan selepas Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur hari ini.
“Aah betul lah tu. Satu saat keluar tol Sungai Besi, sambung sangkut lagi ni,” katanya.
Seorang lagi pengguna Thread Im Bell memuat naik status berdepan kesesakan sejak pagi tadi hingga tengah hari untuk menghala ke Kuala Lumpur.
“Dia punya sangkut sesak dari pukul 8 pagi sampai sekarang dah pukul 12 tengah hari. Masih tak keluar dari Johor lagi,” katanya yang memuat naik hantaran tiga jam lalu.
Bagaimanapun, dia kemudian membalas komen salah seorang pengguna Thread kira-kira 24 minit lalu yang mana telah tiba di Kuala Lumpur.
“Saya pun nak pergi konsert Ella, ni baru sampai KL,” katanya.
Pengguna Thread Ayudolmat turut meninggalkan komen bahawa, dia ‘tersangkut’ di dalam kesesakan selama dua jam di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara.
“Samalah, dua jam saja tersangkut. Pukul 8 pagi lebih keluar tol Skudai, ni belum sampai Melaka lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE














