PETALING JAYA – Seorang lelaki warga emas menangis sebak apabila menerima kunjungan kanak-kanak sebuah tadika Islam yang menghantar bungkusan makanan kepadanya sempena Tahun Baharu Cina di rumahnya di Taman Limbongan, Melaka.
Menerusi video dimuat naik pada TikTok Pasti Al Falah Limbongan, kanak-kanak di tadika itu bersama guru berkunjung ke rumah masyarakat Cina di kawasan itu termasuk rumah warga emas tersebut bagi menghantar bungkusan sempena Tahun Baharu Cina.
Kumpulan kanak-kanak itu memberikannya bungkusan makanan serta bersalaman dengan warga emas tersebut dan kemudian, dia menangis sebak serta melambai tangan masuk ke rumahnya.
“Kami doakan uncle (pak cik) sihat,” menurut kapsyen ringkas pada video berkenaan.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai yang turut sedih dengan situasi tersebut, malah ada beberapa individu mendakwa tinggal di kawasan perumahan itu dan sering melihat warga emas tersebut.
“Kasihan dekat uncle ni, selalu nampak termenung jauh depan rumah dia. Apa yang difikirkan, mungkin rindu kasih sayang anak-anak,” komen pengguna TikTok Rasman Mohd. Dali.
“Uncle ni orang taman saya. Dia macam rindu seseorang, duduk depan. Nampak anak-anak lalu, selalu lambai tangan,” kata pengguna TikTok Renzo.
“Aku tak boleh lah tengok benda-benda macam ni. Memang sebak,” kata Nurlias87.
“Uncle menangis, saya pun termenangis juga,” komen Fauziah9484.
“Uncle menangis, terasa sampai sini sedih,” kata Snkhalifah. – KOSMO! ONLINE
@pasti_alfalahlimbongan♬ original sound – PASTI AL FALAH LIMBONGAN














