KULIM – Cadangan untuk memperluaskan penggunaan ekosistem digital berasaskan MyKad termasuk integrasi dengan sistem Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dapat mempermudah dan melancarkan urusan pembelian barangan bersubsidi seperti minyak masak peket.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, ketika ini pihak kementerian menggunakan aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS).
Katanya, ia menggunakan kod QR untuk pengguna membeli minyak masak peket bersubsidi terutama di premis yang belum mempunyai sistem terminal MyKasih.
“Langkah ini sebagai penyelesaian sementara kerana tidak semua kedai runcit mempunyai sistem terminal MyKasih. Menjelang hujung tahun ini, kira-kira 10,000 kedai runcit dijangka dilengkapi terminal tersebut.
“Penggunaan aplikasi eCOSS memastikan hanya golongan layak menikmati subsidi, sekali gus mengekang ketirisan,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 (SHMMP TBC 2026) Peringkat Kebangsaan di sebuah pasar raya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE














