PETALING JAYA – Pelakon dan pengacara Sharifah Aleha mengesahkan rumah tangganya dengan bekas suami, Mohammed Azam Abdullah sudah berakhir.
Menurut Aleya, 43, pengakuan tersebut didedahkan bagi meleraikan teka-teki ramai mengenai rumah tangganya selain memaklumkan tempoh idahnya berakhir hari ini.
“Reel ini adalah kompilasi rakaman dan perkongsian yang dibuat sejak November 2025.
“Saya kongsikan hari ini kerana hari ini menandakan berakhirnya tempoh idah saya.
“Saya kini secara rasmi telah bercerai. Alhamdulillah Alaa Kulli Haal,” katanya dalam satu hantaran Instagram hari ini.
Dalam pada itu, dia bersyukur fasa perceraianya berjalan dengan baik dan termasuk kehidupan anak-anaknya.
“Saya dan anak-anak berada dalam keadaan baik serta kami saling menyokong antara satu sama lain sepanjang melalui fasa ini.
“Alhamdulillah, kami mempunyai sistem sokongan yang sangat baik. Terus melangkah ke hadapan, anak-anakku,” ujarnya.
Tambah Aleya, dia terbuka untuk berkongsi mengenai perceraian yang berlaku bagi mengelakkan menjadi mangsa fintnah segelintir pihak.
“Perkongsian ini bagi mengelakkan sebarang fitnah dan untuk memberitahu semua bahawa kami okey dan saya juga akan baik-baik sahaja, insya-Allah.
“Jika sudi, mohon doakan saya dan juga anak-anak saya,” katanya lagi.
Terdahulu, Aleya mendirikan rumah tangga dengan Mohammed Azam pada 2013 dan dikurniakan dua orang anak lelaki.
Manakala menerusi perkahwinan pertamanya bersama pemuzik, Muhd Ashraf Aasimuddin, Aleya dikurniakan sepasang anak kembar, Aza Ameena dan Asha Ameena. – KOSMO! ONLINE














