LONDON – Chelsea mensia-siakan kelebihan dua gol apabila sekadar mencatat keputusan seri 2-2 menentang Leeds United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge awal pagi semalam.
The Blues pada awalnya mendahului 2-0 hasil jaringan Joao Pedro dan Cole Palmer, namun gagal menghalang kebangkitan Leeds di separuh masa kedua menerusi Lukas Nmecha serta Noah Okafor.
Pengurus Chelsea, Liam Rosenior meluahkan rasa kecewa apabila menyifatkan dua gol yang diperoleh Leeds berpunca daripada kesilapan sendiri sehingga membolehkan pasukan pelawat menjaringkan dua gol dalam tempoh tujuh minit.
“Ada dua situasi hari ini di mana kami leka dan tidak memberikan sepenuh perhatian. Moises Caicedo seorang pemain yang hebat tetapi dia melakukan keputusan kurang tepat sehingga memberikan sepakan penalti kepada Leeds.
“Secara jujur, sebelum gol tersebut, saya kurang pasti sama ada Leeds melakukan percubaan ke arah pintu gol kami ataupun tidak. Boleh dikatakan kami menguasai sepenuhnya perlawanan,” katanya.
Keputusan itu juga menyaksikan Chelsea terlepas peluang untuk melonjak ke kelompok empat teratas selepas pasukan pencabar, Manchester United juga sekadar seri 1-1 menentang West Ham United.
“Selepas ini kami perlu menjadi lebih profesional dan tidak leka sepanjang 90 minit permainan. Sangat merugikan apabila kami membenarkan mereka menjaringkan dua gol selepas mendahului 2-0,” ujar Rosenior. – AGENSI














