SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) menyasarkan peningkatan sebanyak lima peratus kutipan zakat fitrah pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor), Mohd. Khaidzir Shahari berkata, sasaran itu diletakkan selepas kutipan diperoleh menunjukkan peningkatan bagi tahun 2024 sebanyak RM41 juta dan 2025 (RM43 juta).
“Kita telah melantik lebih 2,400 Penolong Amil Fitrah (PAF) yang akan bertugas di lebih 460 masjid dan surau di seluruh negeri bagi memastikan kelancaran urusan pembayaran zakat fitrah sepanjang Ramadan ini.
“Umat Islam di Selangor amat digalakkan membayar zakat fitrah lebih awal bagi memudahkan agihan zakat kepada golongan yang memerlukan,” katanya pada sidang akhbar selepas program simbolik agihan bantuan Ramadan dan Syawal Tahun 2026 di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, PAF di lima daerah iaitu Kuala Selangor, Klang, Petaling, Hulu Langat dan Gombak akan menggunakan sistem aplikasi (Mobile App) sepenuhnya dalam urusan kutipan zakat fitrah.
Katanya, empat daerah lain iaitu Sabak Bernam, Hulu Selangor, Sepang dan Kuala Langat masih menggunakan buku kupon fitrah selain turut menerima pembayaran melalui sistem aplikasi bagi memastikan proses kutipan berjalan lancar dan teratur.
“Zakat Selangor turut memperkukuh kaedah kutipan melalui penggunaan aplikasi ZPay bagi pembayaran tanpa tunai di kaunter sementara yang dibuka di lebih 200 premis terpilih. Inisiatif ini selari dengan komitmen Zakat Selangor ke arah sistem kutipan yang lebih efisien, telus dan mesra pembayar,” katanya.
Katanya, Zakat Selangor akan membuka 19 cawangannya di seluruh Selangor tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan ini. – KOSMO! ONLINE














