KOTA TINGGI – “Saya terpegun tengok dia petang itu, memang luar biasa cantiknya,” demikian luahan pilu Muhammad Asyraf Yatim, 34, suami kepada Nor Balqis Yazid, 24, yang maut bersama bayi mereka, Mohd. Bilal Asyraf dalam kemalangan di Kilometer 65 Jalan Sungai Rengit – Kota Tinggi petang semalam.
Menurut Muhammad Asyraf, petang semalam adalah kali terakhir dia melihat isterinya sebelum nyawa diragut ketika wanita itu keluar bersama ketiga-tiga anaknya sekitar pukul 6 petang.
Katanya, arwah yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Felda Air Tawar 2 cuti pada hari semalam dan ketika kejadian dalam perjalanan ke bank sebelum merancang keluar makan bersama rakan sekerja.
“Biasanya dia bersiap sederhana saja. Tapi semalam pakaian dan solekan dia luar biasa. Saya pandang dia lama sikit, memang terpegun dan sempat memuji di dalam hati. Ketika itu saya di rumah dan arwah juga sempat pesan kepada saya suruh menyusul dia pukul 8 malam untuk makan bersama-sama dia.
“Namun kira-kira pukul 7 malam saya dapat berita isteri dan anak-anak terlibat kemalangan,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini hari ini.
Menurut Muhammad Asyraf, sebaik menerima panggilan memaklumkan kemalangan, dia terus bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati isterinya sudah tidak bernyawa.
“Saya buka pintu kereta, isteri dah tak bernyawa dan tersepit. Anak-anak semua dah tak ada, dibawa ke hospital. Anak sulung berusia lapan tahun mengalami pendarahan di kepala, manakala seorang lagi anak berusia empat tahun alami pendarahan di perut. Kedua-duanya dirawat di zon merah Hospital Sultan Ismail (HSI),” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE














