PETALING JAYA – Hubungan kekal utuh, pengarah Datuk Yusof Haslam menasihati pelakon Puteri Sarah Liyana yang juga menantunya agar segera bertemu pengganti.
Yusof, 72, turut memaklumkan agar tidak membiarkan masa berlalu begitu sahaja tanpa teman hidup di sisi.
“Mudah-mudahan kamu bertemu jodoh, jangan biarkan masa berlalu sebab kehidupan ini singkat sebenarnya.
“Kita kahwin dapat anak, besarkan anak, tahu-tahu dah berusia. Macam papa, tahu-tahu dah 72 tahun, kamu pun dah meningkat 40 tahun kan.
“Jadi, apa-apa sekalipun teruskan perjuangan dapat jodoh yang sesuai kamu rasa,” katanya dalam sebuah video mempromosikan baju raya.
Pada masa sama, pengarah drama Gerak Khas itu menekankan bahawa kunci kebahagiaan sesebuah perkahwinan terletak pada sikap tolak ansur dan profesionalisme pasangan.
“Lepas dapat jodoh, kita serahkan soal rumah tangga itu pada keadaan dan takdir.
“Tapi banyakkan bertolak ansur dalam kehidupan dan suami juga mesti lebih bersikap profesional.
“Tidak boleh ego, meninggi diri. Mesti ada ‘give and take’ sebab tiada yang sempurna dalam rumah tangga. Masing-masing ada kekurangan.
“Papa doakan yang terbaik,” katanya lagi.
Terdahulu, Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 namun berpisah pada 14 Jun 2023.
Hasil perkahwinan, mereka mempunyai dua orang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 8, dan Summayah, 6.– KOSMO! ONLINE














