fbpx
Amirudin ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Pecah Tanah Projek Ladang Solar Berskala Besar (LSS5) di Bestari Jaya, Kuala Selangor. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI

Amirudin kekal bidas sikap tak konsisten Pas dalam isu ladang babi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA SELANGOR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kekal dengan pendiriannya mengenai isu ladang babi dan membidas sikap tidak konsisten pimpinan Pas yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbeza mengikut khalayak.

Tegas beliau, serangan berterusan parti itu terhadap kerajaan negeri dibuat secara agresif ketika berucap di hadapan masyarakat Melayu namun nada berbeza digunakan apabila bertemu pihak lain.

“Saya mahu jelaskan sikap tidak konsisten mereka apabila menyerang kerajaan negeri secara melulu, tetapi apabila bertemu wartawan Cina, mereka menyatakan sokongan pula untuk membuka ladang babi.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan kerana pada satu masa sentimen kaum dibangkitkan, namun masa sama pendirian berbeza ditunjukkan kepada kumpulan lain,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Pecah Tanah Projek Ladang Solar Berskala Besar (LSS5) di Bestari Jaya di sini, hari ini.

Terdahulu, Pas Selangor menegur penggunaan bahasa beremosi oleh Amirudin dalam satu video yang didakwa menyasarkan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab Halim Tamuri.

Amirudin bagaimanapun mengakui nada ucapannya pada Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor bersifat emosional dan memohon maaf sekiranya menyinggung mana-mana pihak.

“Namun, perkara itu tidak menafikan isu pokok berkaitan tanggungjawab pemimpin politik untuk bersikap konsisten. Seseorang pemimpin perlu berpegang kepada prinsip yang jelas dan jika tidak kenyataan yang dibuat hanya mengelirukan rakyat,” jelasnya.

Difahamkan, satu sidang akhbar khas berkaitan isu itu akan dibuat Pemuda Pas Selangor di pejabatnya di Shah Alam pada petang ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN