fbpx
Bufet Ramadan di hotel menawarkan pelbagai pilihan makanan, pencuci mulut dan minuman untuk menarik minat pelanggan berbuka puasa bersama mereka. – Gambar hiasan

‘Setahun sekali kami dapat makan sedap’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Rata-rata pengguna tidak kisah mengeluarkan modal untuk menempah bufet Ramadan di hotel atau restoran kerana mereka sudah membuat persediaan dengan menyimpan duit untuk menikmati makanan sedap setahun sekali.

Muhammad Afnan Md. Noor, 37, berkata, dia sekeluarga tidak kisah berbelanja lebih RM1,000 kerana sudah menjadi tradisi keluarganya sejak 2022.

Katanya, dia empat beradik akan mengumpul wang sejak awal tahun untuk menikmati pelbagai makanan enak bufet Ramadan di hotel.

“Biasanya kami seramai 12 sekeluarga pergi pada minggu terakhir Ramadan dengan memilih hotel di Ipoh atau tempat lain yang tawarkan harga RM100 hingga RM150 satu kepala.

“Setakat ini kami masih mampu tanggung walaupun ada harga naik kerana warga emas dan kanak-kanak murah sedikit. Makan bersama masa untuk rapatkan ikatan kekeluargaan kerana adakalanya kami tidak berjumpa ketika raya,” katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan perang harga bufet Ramadan 2026 menyaksikan persaingan sengit antara hotel dan resort di seluruh negara dengan tawaran serendah RM55 hingga lebih RM200.

Pelbagai hidangan ditawarkan termasuk masakan kampung, menu tradisional Melayu, wa­risan nusantara, konsep bazar Ramadan, kambing golek dan makanan Arab bagi menarik pe­langgan.

Di Petaling Jaya, Umai Wahid, 30, berkata, kepelbagaian menu menambat seleranya untuk me­nempah bufet Ramadan walaupun harga di Lembah Klang antara yang mahal antara RM218 hingga RM318 seorang.

“Kalau berbuka di hotel, kita boleh rasa macam-macam jenis makanan. Ada menu tradisional, makanan barat, pencuci mulut dan kuih-muih Melayu. Berban­ding kedai biasa, kita hanya pilih satu menu sahaja,” katanya.

Tambahnya, dia akan pergi hingga tiga kali sepanjang Ramadan dan ia memang berbaloi untuk mereka yang makan banyak.

“Tidak semestinya hotel lima bintang saja. Hotel empat bintang pun banyak yang sedap, menu banyak dan suasana selesa. Yang penting kepelbagaian makanan, keselesaan dan ‘vibe’ berbuka bersama keluarga,” katanya.

Siti Nurfadzlin M. Yunus, 42, berkata, dia membuat tinjauan tiga bulan sebelum Ramadan untuk merebut harga early bird dengan diskaun hingga 50 peratus.

“Biasanya saya e-mel dan mereka akan berikan pilihan pakej sebelum kami membuat pilihan. Walaupun lebih RM130 seorang, saya bernasib baik ke­rana adik yang bekerja sebagai jurutera elektrik kapal luar persisir yang akan belanja 21 ahli keluarga sekitar RM1,500,” katanya.

Zehan Suziana, 40, tidak kisah sesekali berbelanja lebih demi menikmati momen iftar bersama keluarga di hotel eksklusif.

“Biasanya kami pergi dua ke tiga kali sepanjang Ramadan sekadar untuk ambil peluang nikmati momen iftar bersama keluarga di tempat eksklusif seperti hotel,” katanya.

Di Kota Bharu, Zuraini Mohamad, 53, berkata, dia memilih pakej RM55 seorang untuk berbuka seminggu sekali di hotel tiga bintang bersama suaminya.

“Setiap tahun kami tempah bufet Ramadan di hotel itu sebab sedap dan banyak pilihan makanan. Kami juga merancang untuk berbuka di restoran yang menyediakan juadah seperti hotel nanti,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia Datuk Nadzim Johan berkata, matlamat sebenar Ramadan ialah mengawal nafsu dan me­ngurangkan pembaziran.

“Bulan puasa sepatutnya mendidik kita untuk kurangkan makan, jaga pembaziran dan ba­nyakkan sedekah. Namun apa yang kita lihat hari ini, harga makin naik dan pembaziran makanan masih berlaku,” katanya.

Namun katanya, peningkatan harga bufet Ramadan sebahagiannya didorong oleh permintaan tinggi daripada pengguna sendiri yang tetap memilih untuk berbuka di hotel walaupun sedar ­kosnya semakin mahal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN