PUTRAJAYA- Pihak berkuasa tempatan (PBT) diberi keizinan untuk bertindak ke atas mana-mana rumah ibadat termasuk kuil yang sengaja dibina tanpa mengikut jalur hukum yang sah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak mengizinkan pembinaan mana-mana rumah ibadat yang tidak mengikut peraturan.
“Saya dengan ini mahu mengumumkan ketetapan kita tidak lagi mengizinkan yang (pembinaan rumah ibadat) tidak mengikut peraturan, dan majlis bandaraya (PBT) diberi keizinan untuk bertindak supaya bersihkan kawasan yang bukan hak kuil supaya selesai masalah ini dengan baik.
“Saya tahu (ini akan) mengundang kontroversi, sebab itu beritahu, kalau yang melampau sampai ada kempen nak merobohkan kuil, itu salah juga, kerja kami kerja negara, ini negara hukum,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di sini, hari ini.
Anwar berkata, di bawah peraturan undang-undang, semua rumah ibadat sama ada masjid, gereja, kuil atau lain-lain mesti dibangunkan mengikut kelulusan sah tanpa mengira disenangi atau tidak.
“Masjid yang dibangunkan ikut peraturan, gereja dibangunkan ikut peraturan, begitu juga semua yang lain. Jadi harus dicari jalan penyelesaian, bukan pergaduhan.
“Kalau ada pelanggaran, barulah kita ambil tindakan. Kita jalan ikut undang-undang, bawa bincang dengan cara yang sah dan berperaturan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak akan membenarkan percambahan rumah ibadat yang dibina sewenang-wenangnya tanpa kelulusan, termasuk di kawasan awam.
“Yang tidak boleh dibiarkan ialah percambahan di bawah pokok, di mana-mana sahaja. Ini mesti dibendung. Di negara lain pun, termasuk India dan China, pembinaan rumah ibadat hanya dibenarkan di tempat yang sah,” katanya.
Anwar turut menjelaskan, terdapat kes tertentu yang akan dipertimbangkan secara berasingan, termasuk rumah ibadat yang telah lama wujud.
“Kalau ada kes yang sudah wujud 200 tahun dan minta pertimbangan, itu kita nilai sebagai kes lain. Tetapi jangan guna alasan sudah lama wujud untuk wajib diluluskan,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan tidak mungkin mempertahankan semua rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan sah.
“Takkan kalau ada 1,000 kuil yang tidak ikut kebenaran dan kelulusan tanah, semua mahu dipertahankan? Tidak boleh. Sebab itu penjelasan ini mesti jadi dasar kefahaman semua pihak,” katanya. – KOSMO! ONLINE














