fbpx
BARISAN pelumba yang akan mengambil bahagian pada saingan MotoGP 2026 menjadi tumpuan lensa pada majlis pelancaran di KLCC kelmarin. - FARIZ RUSADIO

Pelumba negara akan kembali di MotoGP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh AIZATIE NAJMIN SULAIMAN

PELUMBA LCR Honda, Johann Zarco percaya Malaysia masih mempunyai potensi besar untuk melahirkan semula pelumba bertaraf dunia meskipun ketika ini tiada wakil negara di pentas elit Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

Zarco yang ditemui pada pelancaran MotoGP Kuala Lumpur di Menara Berkembar Petronas (KLCC) kelmarin mengakui, masih mengingati pelumba Malaysia seperti Zulfahmi Khairuddin dan Hafizh Syahrin yang pernah mencetuskan keterujaan luar biasa dalam kalangan peminat tempatan.

Menurut pelumba Perancis itu, kemunculan Hafizh di MotoGP suatu ketika dahulu memberi impak besar kepada landskap perlumbaan motosikal Malaysia, bukan hanya dari sudut prestasi, malah emosi dan sokongan peminat.

“Saya masih ingat gelombang pelumba Malaysia ketika itu dengan Zulfahmi dan Hafizh. Ia sesuatu yang sangat menarik. Apabila Hafizh di MotoGP, saya dapat lihat dia berlumba dengan penuh kuasa dan emosi, terutama apabila beraksi di hadapan penyokong sendiri,” katanya.

Zarco menyifatkan kehadiran Hafizh di MotoGP sebagai satu ‘ledakan besar’ buat Malaysia kerana ia membuktikan pelumba tempatan mampu bersaing di peringkat tertinggi, sekali gus memberi inspirasi kepada generasi muda.

Bagaimanapun, pelumba berusia 35 tahun itu mengakui kebelakangan ini Malaysia tidak lagi mempunyai wakil tetap di MotoGP, namun percaya situasi tersebut bersifat kitaran dan bukan penamat kepada potensi sebenar negara.

“Memang benar sekarang kita tidak melihat pelumba Malaysia muncul, tetapi saya fikir ia berlaku mengikut gelombang. Sekarang mungkin lebih ramai pelumba Indonesia, tetapi tidak mustahil Malaysia akan kembali tidak lama lagi,” katanya.

Ketika ditanya sama ada dia mempunyai nasihat khusus, Zarco memilih untuk tidak memberikan panduan teknikal, sebaliknya menyuarakan keyakinan terhadap proses semula jadi pembangunan pelumba.

Untuk rekod, Zarco dan pasukannya menamatkan Ujian Sepang dengan reaksi positif selepas melalui beberapa cabaran awal dan kini bersedia mengharungi Ujian Buriram sebagai persiapan menuju musim baharu MotoGP yang dinanti-nantikan peminat seluruh dunia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN