Saudara Pengarang,
Kebelakangan ini, semakin banyak gelanggang pickleball dibuka kepada umum menunjukkan sukan baharu itu terus mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Namun, peningkatan populariti sukan pickleball ini khususnya dalam kalangan remaja dan warga emas menyebabkan sukan-sukan lain terutama futsal makin terpinggir dan kurang mendapat perhatian.
Malah, di beberapa kawasan, pemain futsal dan badminton terpaksa berkongsi gelanggang atau mencari lokasi alternatif lain ekoran permintaan yang terlalu tinggi terhadap sukan pickleball.
Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan peluang golongan muda untuk aktif bersukan, malah boleh menghakis minat mereka terhadap aktiviti sihat apabila kemudahan semakin terhad dan tidak seimbang dengan permintaan.
Dalam hal ini, kita tidak menyalahkan pihak yang menyediakan kemudahan gelanggang pickleball, namun keperluan untuk menawarkan lokasi bermain futsal juga perlu dikekalkan.
Perlu diingat, suatu ketika dahulu sukan futsal menjadi antara sukan popular dalam kalangan rakyat Malaysia dan hampir setiap minggu ada sahaja kejohanan yang dipertandingkan.
Apa yang dibimbangkan sukan ini akan terus terpinggir di Malaysia, ketika negara-negara lain terus mencipta nama dalam sukan futsal di peringkat antarabangsa.
Peminat futsal
Selangor














