Saudara Pengarang,
Setiap kali tiba musim cuti sekolah, permintaan terhadap inap desa dan rumah percutian yang mempunyai kolam mandi meningkat dengan ketara. Namun, dalam keterujaan bercuti bersama keluarga, isu keselamatan khususnya melibatkan kanak-kanak sering dipandang ringan.
Kebelakangan ini, laporan mengenai kanak-kanak lemas ketika mandi kolam di inap desa semakin kerap kedengaran dan amat membimbangkan.
Kebanyakan insiden berlaku akibat kecuaian, ketiadaan pengawasan rapi serta langkah keselamatan yang tidak mencukupi.
Ramai ibu bapa beranggapan bahawa kolam di inap desa lebih selamat berbanding kolam awam, sedangkan kebanyakan kemudahan tersebut tidak mempunyai penyelamat, pagar keselamatan atau papan tanda amaran yang jelas.
Keadaan menjadi lebih berisiko apabila kanak-kanak dibiarkan bermain air tanpa jaket keselamatan atau alat bantuan terapung, selain tahap kemahiran berenang mereka yang berbeza-beza.
Pemilik inap desa juga perlu memikul tanggungjawab lebih besar dengan memastikan kolam diselenggara dengan baik, dilengkapi ciri keselamatan asas serta menyediakan peringatan bertulis kepada penyewa mengenai risiko dan peraturan penggunaan kolam.
Dalam masa sama, ibu bapa dan penjaga perlu sentiasa peka dan tidak leka walaupun ketika bercuti, kerana kelalaian beberapa saat sahaja boleh mengundang tragedi.
Rosli
Seremban, Negeri Sembilan















