Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan yang meraih emas di Sukan SEA Thailand itu mengakui pernah berdepan pelbagai kekecewaan sepanjang penglibatannya dalam sukan lontar peluru termasuk tercorot di Sukma.

‘Hadiah’ kesabaran Nani Sahirah, siswi UPM ratu lontar peluru negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERJAYA meraih pingat emas dalam acara lontar peluru di temasya Sukan SEA Thailand pada tahun lalu merupakan satu kejutan besar yang dilakar oleh Nani Sahirah Maryata.

Jaguh lontar peluru negara yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu tidak menyangka dirinya mampu menghadiahkan pingat emas buat negara tercinta pada temasya sukan tersebut.

Atlet berusia 25 tahun itu mempamerkan karakter luar biasa apabila berjaya melakukan lontaran sejauh 16.36 meter (m), sekali gus memadam rekod kebangsaan miliknya sendiri, 15.39m.

Kejayaannya menewaskan atlet tuan rumah, Areerat Intadis dan wakil Vietnam, Huyen Kim Thi dianggap sebagai sesuatu yang di luar jangkaan memandangkan dia bergelut dengan prestasi tidak menentu sepanjang tahun lalu.

Nani Sahirah berkata, saingan dalam acara tersebut sangat sengit, dengan atlet tuan rumah menjadi peserta dijangka meraih emas.

Menurutnya, sebelum pertandingan, sasarannya hanya ingin menaiki podium, sama ada di tempat kedua atau ketiga.

“Atlet Thailand adalah pilihan utama kerana rekod peribadinya jauh lebih baik daripada saya. Saya pernah bertemu dengannya dalam beberapa temasya sukan sebelum ini dan lontarannya lebih baik berbanding saya.

“Namun, pada temasya Sukan SEA Thailand, rezeki menjadi milik saya apabila berjaya mengatasinya untuk meraih pingat emas,” kata Nani Sahirah.

Tambahnya, tiada apa yang dapat dizahirkan selain daripada rasa syukur kerana menganggap pingat emas itu adalah satu rezeki daripada Allah SWT buatnya.

Nani Sahirah mengakui, 2025 adalah tahun yang paling sukar buat dirinya dari segi emosi dan prestasi latihan.

NANI SAHIRAH meraih pingat emas dalam acara lontar peluru di temasya Sukan SEA Thailand pada tahun lalu.

Malah sebelum itu, dia sering kalah di beberapa kejohanan termasuk di Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 di Rhine-Ruhr, Jerman dan Kejohanan Asia.
Itu yang membuat dia kecewa dan tertekan.

Malah ketika latihan, dia hanya mencatatkan lontaran sekitar 14.5 meter, dengan harapan mampu mencatatkan rekod peribadi terbaik pada Sukan SEA Thailand.

MOMEN yang telah memberikan keyakinan kepada Nani Sahirah pada acara akhir adalah selepas dia berjaya melakukan lontaran pertama sejauh 15.13m.

“Sebelum ini, saya jarang melakukan lontaran melebihi 15m. Pada tahun lalu, hanya dua kali saya berjaya melepasi jarak tersebut.

“Tetapi lontaran pertama telah memberi keyakinan luar biasa kepada saya. Akhirnya, saya berjaya catat 16.36m yang merupakan rekod peribadi terbaik saya,” jelas pemenang pingat gangsa pada edisi Sukan SEA Kemboja pada 2023.

Tambahnya, kejayaan melakukan lontaran terbaik pada temasya itu boleh dianggap sebagai ‘hadiah’ atas kesabarannya bergelut dengan prestasi tidak menentu sepanjang tahun lalu.

Dia juga mendedikasikan pingat emas tersebut buat ibu bapa, jurulatih dan rakan-rakan yang sentiasa memberi semangat serta sokongan kepadanya.

Sementara itu, mengulas tentang penglibatannya dalam sukan lontar peluru, Nani Sahira memaklumkan, dia mula terlibat dalam acara tersebut sejak di bangku sekolah rendah.

Bakatnya itu telah dihidu oleh salah seorang guru di Sekolah Kebangsaan Bukit Sekilau, Kuantan, Pahang.

“Guru saya ini yang melihat bakat saya. Dia pergi bertemu kedua-dua ibu bapa saya untuk memberikan galakan kepada saya menyertai kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) pada ketika itu.

“Di situlah bermulanya perjalanan saya dalam sukan lontar peluru ini,” jelasnya.

Dia kemudian meneruskan pengajian peringkat menengah di Sekolah Sukan Malaysia Pahang, Gambang.

Ketika di tingkatan satu, dia telah mewakili negara ke pertandingan Western Australian Little Athletics yang berlangsung di Perth, Australia.

Pendedahan antarabangsa itu membuka jalan kepadanya untuk menyertai kejohanan lebih besar, termasuk Sukma dan kejohanan terbuka di luar negara.

NANI SAHIRAH meraih kejayaan berganda apabila berjaya memecahkan rekod baharu kebangsaan dan olahragawati pada Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi 2022 Grand Final.

Bagaimanapun, perjalanannya menuju kejayaan bukanlah semudah disangka kerana dia pernah berada di kedudukan tercorot ketika Sukma dan berdepan beberapa detik kekecewaan.

“Saya pernah berada pada kedudukan tercorot dalam beberapa kejohanan dan merasai sendiri rasa kecewa apabila kalah.

“Namun, itu tidak pernah mematahkan semangat saya dan menganggapnya sebagai salah satu proses untuk terus berkembang lebih maju,” katanya.

Selepas kejayaan di Sukan SEA Thailand, tumpuan Nani Sahirah pada tahun 2026 ini beralih kepada Sukan Asia yang akan berlangsung di Jepun pada September ini.

Untuk bertanding di peringkat Asia, dia menyedari persaingan pasti lebih sengit.

“Saya akan berusaha bersungguh-sungguh bagi melepasi sasaran layak sehingga ke peringkat akhir di Sukan Asia.

“Dapat masuk peringkat akhir sudah menjadi satu pencapaian besar buat saya,” katanya.

Pada masa sama, Nani Sahirah turut meletakkan sasaran untuk melayakkan diri bertanding di Sukan Olimpik sebelum umurnya 30 tahun.

Sementara itu, meskipun bergelar atlet negara dengan jadual latihan yang padat, namun Nani Sahirah sentiasa mementingkan pendidikan.

Maka tidak hairanlah apabila dia mengambil keputusan untuk menyambung pengajian di UPM dalam bidang pentadbiran perniagaan.

“Saya sebenarnya bercita-cita menjadi guru pendidikan jasmani tetapi saya tidak lepas ujian untuk menjadi seorang guru.

“Oleh itu, saya memilih untuk mengambil bidang pentadbiran perniagaan kerana pernah belajar subjek berkenaan ketika zaman persekolahan,” jelasnya.

Menurut Nani Sahirah, pendidikan sangat penting bagi membuka jalan kepadanya bekerja dalam bidang lain sekiranya sudah tidak aktif di lapangan sukan pada masa hadapan.

“Bergelar seorang mahasiswa dengan komitmen sebagai atlet negara memerlukan pengorbanan besar,” ujarnya.

Nani Sahirah memaklumkan, setiap atlet perlu jelas dengan matlamat yang ingin dicapai.

“Jika sasaran utama adalah kejohanan besar, maka pengurusan akademik sangat penting.

“Biasanya, saya akan kurangkan subjek pengajian dalam semester berkenaan bagi membolehkan saya memberikan fokus kepada latihan.

“Setakat sekarang, saya telah berkorban dan menunda dua semester pengajian bagi memberi fokus kepada Sukan SEA Kemboja pada 2023 serta Sukan SEA Thailand 2025,” terangnya.

Pengorbanan Nani Sahirah menunda dua semester pengajiannya untuk memberi fokus kepada latihan terbalas apabila dia berjaya meraih pingat dalam dua temasya sukan tersebut.

Sementara itu, sebagai persediaan pada masa hadapan, Nani Sahirah telah mengambil sijil kejurulatihan tahap satu.

Dia juga menyimpan hasrat untuk menjadi jurulatih alam acara lontar peluru pada masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN