KAJANG – Penubuhan Wellness Hub Hulu Langat merupakan manifestasi reformasi sistem kesihatan negara yang beralih daripada pendekatan merawat penyakit semata-mata (sick care) kepada pencegahan dan pemerkasaan kesihatan rakyat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif tersebut selari dengan kerangka Malaysia Madani yang meletakkan kesihatan sebagai prasyarat kepada kemakmuran negara.
Menurutnya, kos mengurus penyakit tidak berjangkit (NCD) kini mencecah RM64.3 bilion setahun, jauh lebih tinggi berbanding Bajet Kementerian Kesihatan sebanyak RM46.52 bilion bagi tahun ini.
“Ini menunjukkan kita tidak boleh lagi bergantung semata-mata kepada rawatan penyakit. Kita perlu beralih kepada pencegahan dan reformasi sistem kesihatan yang memperkasa rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perasmian Wellness Hub Hulu Langat, di sini hari ini.
Dr Dzulkefly berkata, Wellness Hub berperanan merakyatkan kesihatan dengan meningkatkan akses dan literasi kesihatan agar masyarakat mampu membuat keputusan lebih bijak mengenai kesejahteraan diri.
Katanya, fasiliti itu juga menjadi platform strategik menangani isu kritikal seperti stunting (bantut) dan malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak melalui perkhidmatan rundingan pemakanan, bermula dari peringkat awal kehamilan hingga 1,000 hari pertama kehidupan anak.
Mengulas lanjut, beliau berkata Wellness Hub Hulu Langat menerima lebih 19,000 klien pada 2025, peningkatan hampir 23 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, sebanyak 38 Wellness Hub kini beroperasi di seluruh negara, termasuk lima fasiliti baharu yang mula beroperasi tahun ini di Kuala Selangor, Muar, Sibuti, Muallim dan Sandakan. – KOSMO! ONLINE














