fbpx
Muhammad Bani menunjukkan Selfin Dragon ketika ditemui di petting zoo bergerak di Bandar Baru, Gua Musang semalam.

70 ekor haiwan eksotik ‘Si Bani Mini Zoo’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Hobi memelihara haiwan eksotik mengundang rezeki buat seorang pemuda apabila minat itu kini menjadi sumber pendapatan melalui zoo mini haiwan jinak atau ‘petting zoo’ bergerak yang diusahakannya.

Muhammad Bani Hashim ­Masli, 23, berkata, dia mula menceburi bidang itu sejak berusia 19 tahun dengan memelihara arnab secara kecil-kecilan di bawah sebuah khemah sebelum menambah koleksi haiwan eksotik lain dari luar negara.

Katanya, sehingga kini terdapat 70 ekor haiwan eksotik daripada 30 spesies termasuk rakun, skunk dan meerkat di petting zoo miliknya yang diberi nama Si Bani Mini Zoo.

“Ketika berumur 18 tahun saya mula bekerja sebagai penjaga haiwan di petting zoo dekat Selangor. Kemudian saya mula membeli seekor Bearded Dragon sebelum beralih kepada pelbagai spesies haiwan lain seperti tarantula dan ular yang mudah dijaga.

“Harga haiwan paling mahal mencecah kira-kira RM5,000 seekor, manakala yang paling murah sekitar RM250 hingga RM300. Saya fokus haiwan yang tidak memerlukan lesen untuk dipelihara dan dipamerkan kepada orang awam,” katanya ketika ditemui di Bandar Baru di sini semalam.

Menurut Muhammad Bani Hashim, anggaran keseluruhan kos bagi membeli haiwan dan operasi petting zoo miliknya mencecah RM40,000.

Katanya, semua haiwan peliharaannya senang dijaga dan kos bulanan bagi makanan sekitar RM600 untuk membeli buah-buahan dan pelet.

“Penjagaan haiwan adalah perkara paling penting kerana sebarang kecuaian boleh mengakibatkan kerugian besar.

“Kalau haiwan mati, memang pening kepala sebab kos seekor haiwan itu tinggi. Sebelum ini pernah juga haiwan seperti ular, burung dan tarantula mati,” katanya.

Muhammad Bani Hashim turut berkongsi pengalaman terpaksa menghentikan operasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Semasa PKP nak keluar susah dan saya terpaksa jual semua haiwan. Saya kumpul duit sikit-sikit dan beli semula haiwan.

“Kini, saya menyertai sekitar tiga hingga empat acara pameran haiwan setiap bulan melibatkan hampir semua negeri kecuali Sabah dan Sarawak. Harga tiket masuk RM6 seorang manakala kanak-kanak bawah dua tahun percuma,” katanya.

Dia turut menasihatkan orang muda supaya berani mengejar minat masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN