AMPANG – Seorang usahawan kerugian hampir RM3 juta selepas tiga perompak memecah masuk rumahnya dan melarikan sebuah peti besi seberat hampir 100 kilogram berisi emas dan wang tunai di Taman Hillview, Hulu Klang di sini.
Rompakan itu berlaku pada 23 Disember tahun lalu ketika mangsa, Johan Al Fateh, 34, bersama isterinya pulang ke kampung di Kelantan.
Johan berkata, kejadian bagaimanapun hanya disedari tiga hari kemudian apabila seorang pekerjanya datang ke rumah untuk mengecas bateri kenderaan elektrik miliknya.
Menurutnya, menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), kelibat tiga suspek dikesan berkeliaran di sekitar rumahnya pada pukul 7.56 malam, 23 Disember tahun lalu sebelum berjaya memecah masuk pada pukul 8 malam.
“Mereka terus naik ke tingkat atas dan menyelongkar bilik utama kami. Bilik-bilik lain langsung tidak disentuh dan tidak bersepah,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurutnya, suspek seolah-olah sudah mengetahui sasaran mereka apabila hanya mengambil sebuah peti besi yang berisi barangan paling bernilai walaupun terdapat peti-peti besi lain diletakkan bersebelahan bilik tersebut.
“Yang peliknya, dua lagi peti besi langsung tidak diambil. Mereka hanya ambil satu yang nilainya paling tinggi. Peti besi itu pula dipasang pada dinding, namun suspek berjaya mencabutnya walaupun berat hampir 100kg.
“Dengan tiga orang, mereka mampu mengangkat peti besi itu dan keluar dari rumah sekitar pukul 9.30 malam.
“Hanya peti besi berkenaan dicuri, manakala barangan lain tidak disentuh, kecuali langsir dan cadar yang digunakan suspek untuk membalut peti besi berkenaan sebelum melarikan diri,” katanya.
Johan berkata, di dalam peti besi itu mengandungi rizab tunai syarikat yang telah ditukar kepada jongkong emas.
“Ada jongkong emas 999 seberat 2kg, emas perhiasan, jam tangan serta wang tunai sekitar RM300,000 hingga RM400,000 untuk bayaran bonus staf, insentif Ramadan dan duit raya.
“Nilai asal mungkin sekitar RM2 juta, tetapi mengikut harga semasa emas, nilainya kini boleh mencecah RM3,” katanya.
Menurutnya, laporan mengenai kejadian itu telah dibuat oleh pekerjanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang pada 26 Disember tahun lalu dan setakat ini kes masih dalam siasatan.

Katanya, beberapa individu termasuk seorang pembantu rumah, empat pengawal keselamatan dan seorang tukang paip yang sering melakukan kerja penyelenggaraan di rumahnya telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Setakat ini polis masih menyiasat dan saya juga bantu apa yang mampu termasuk menganalisis CCTV jiran-jiran, namun belum ada petunjuk kukuh,” ujarnya.
Dia tidak mahu menuduh mana-mana pihak dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis, namun bertindak mendedahkan kes tersebut secara terbuka di media sosial bagi mendapatkan maklumat daripada orang awam.
“Saya dedahkan perkara ini kepada umum kerana tidak mendapat sebarang perkembangan hasil siasatan. Saya anggap polis juga mungkin buntu.
“Tujuan saya hanya satu, untuk membantu pihak polis. Jika ada sesiapa yang mengenali suspek terlibat melalui fizikal, bahasa tubuh atau ternampak peti besi itu di mana-mana tempat, maklumat boleh disalurkan kepada saya atau terus kepada polis,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid dilaporkan berkata, seorang wanita warga asing antara enam individu yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
“Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati kesemua individu yang ditahan tidak terlibat dalam kes pecah rumah ini dan mereka telah dibebaskan.
“Siasatan masih diteruskan dan usaha mengesan suspek sebenar sedang giat dilakukan. Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah masuk rumah,” katanya.
















