GUA MUSANG – Sisa pokok tualang berusia lebih 120 tahun yang ditebang bagi memberi laluan kepada pembinaan projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 2A akan ditanam atau ditimbus berhampiran lokasinya ditebang di Kampung Sungai Bayu, di sini.
Koordinator Projek LTU Pakej 2A, Fizal Irwan Abdul Wahid berkata, potongan pokok itu kini dipantau rapi pihak kontraktor sebelum kerja-kerja menanam dilakukan apabila mendapat kebenaran daripada Jabatan Perhutanan.
Katanya, langkah menanam atau menimbus potongan pokok akan dibuat dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada pengurusan alam sekitar di tapak pembinaan.
“Kita akan membuat proses pemotongan sebelum menanam sisa pokok berkenaan di kawasan tanah di lokasi sama tempat pohon itu sebelum ia ditebang. Kita akan mengambil tindakan tersebut kerana pihak Jabatan Perhutanan telah memberi kebenaran,” katanya.
Kosmo! Online semalam melaporkan, sebatang pokok tualang setinggi 60 meter berusia lebih 120 tahun dan dikatakan ‘kebal’ kerana berpenunggu berhampiran Kampung Sungai Bayu di sini akhirnya ditebang untuk pembinaan Jalan LTU Pakej 2A.
Penebangan pokok dengan lilitan batang sebesar tiga pemeluk itu mengambil masa selama hampir tiga tiga jam bermula pukul 9.15 pagi melibatkan 40 petugas.
Fizal Irwan berkata, pokok itu ditebang selepas mendapat kebenaran Jabatan Perhutanan ekoran kedudukannya tepat di laluan jajaran jalan yang menghalang kerja pembinaan. – KOSMO! ONLINE














