ARAU – Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan yang dinaiki dua ahli Geng Boy Arau selepas mereka bertindak agresif dengan cuba merempuh anggota polis dalam kejadian di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 malam ketika sepasukan anggota sedang menjalankan operasi untuk menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang dinaiki dua suspek lelaki.
Menurutnya, operasi tersebut adalah susulan tangkapan awal membabitkan seorang suspek lelaki berusia 28 tahun di tepi Jalan Taman PKNK, Alor Setar, Kedah pada pukul 7.50 malam, berkaitan kes curi motosikal dan pecah rumah di negeri ini, awal tahun ini.
“Semasa anggota cuba menahan Perodua Alza dinaiki dua suspek, pemandu MPV telah bertindak agresif dengan cuba melanggar pasukan tangkapan ketika cuba meloloskan diri.
“Rentetan itu, anggota melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar hadapan kenderaan menyebabkan tayar pecah sebelum kenderaan berkenaan berhenti di kawasan Taman Bersatu, Jalan Batas Liku, di sini,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Beliau berkata, seorang suspek berusia 28 tahun berjaya ditahan di kawasan itu, manakala suspek utama yang merupakan pekerja kafe melarikan diri ke kawasan semak.
Katanya, polis kemudian menahan seorang wanita berusia 31 tahun yang merupakan isteri kepada suspek utama di sebuah rumah di Jalan Santan, Kangar kira-kira pukul 12.40 tengah malam.
“Kita turut menjumpai beberapa peralatan pertukangan dan barangan elektronik yang dipercayai hasil curi,” katanya.
Beliau berkata, suspek utama berusia 47 tahun yang melarikan diri itu akhirnya berjaya diberkas kira-kira pukul 12 tengah hari tadi berhampiran rumahnya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 307/186, 457 dan 379A Kanun Keseksaan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














