fbpx
Para peserta dengan ikan pipi merah tangkapan masing-masing.

Acara ‘Moh Ngail Tali Ayor’ buru pipi merah cara tradisional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMANCING menggunakan joran dan kekili adalah sesuatu yang normal bagi hobi hanyir ini pada masa kini. Namun pernahkah anda menggunakan peralatan tradisional untuk memancing?

Hakikatnya dahulu masyarakat kita menggunakan bahan yang didapati di sekeliling rumah untuk dijadikan alat menangkap ikan seperti batang bertam dan buluh. Alatan asas ini kian dilupakan dewasa ini.
Pejabat Penghulu Mukim Tanjung Tualang dan JPKK Kampung Changkat Tin Perak telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan acara ‘Moh Ngail Tali Ayor’ untuk memperkenalkan semula penggunaan alatan memancing tradisional bagi mengembalikan nostalgia kaedah mengail secara ‘orang lama’.

Program ini juga telah mendapat kerjasama daripada Jabatan Perikanan Negeri Perak, Jabatan Pengairan dan Saliran, Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak serta Pejabat ADUN Malim Nawar.

Program yang julung kali diadakan ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan hampir 150 orang peserta.

Kampung Changkat Tin yang terletak di Mukim Tanjung Tualang, Perak ini merupakan kampung yang paling hujung di Daerah Kinta dan bersempadan dengan Kampung Gajah.

Tali air Kampung Changkat Tin

Kawasan ini mempunyai keunikan tersendiri kerana terdapat banyak lombong-lombong tinggal sekelilingnya yang bersambung melalui tali air di tengah-tengah kampung ini.

Panjang tali air ini melebihi satu kilometer, lebar lebih kurang 20 kaki dan dalam antara dua hingga enam kaki. Ia tidak pernah kering walaupun semasa musim kemarau. Ikan akan masuk dari lombong-lombong sekitar semasa musim hujan ketika air tinggi dan terus mendiami tali air ini.

Suasana ketika acara ‘Moh Ngail Tali Ayor’ berlangsung yang menyaksikan semua peserta menggunakan peralatan tradisional untuk memancing.

Di dalam tali air ini mengan­dungi pelbagai spesies ikan seperti lampam, patung, temperas, puyu, tilapia, haruan, jelawat, toman dan yang paling istimewa ialah pipi merah satu spesies asli ikan tempatan yang amat jarang dibicarakan di dalam mana-mana media.

Gelagat peserta

Seawal pukul 7 pagi para peserta datang membawa batang bertam dan buluh, ia merupakan satu pemandangan yang amat jarang dapat dilihat kini.

Selesai mendaftar, semua peserta terus menuju tapak panci­ngan masing-masing yang dirasakan berpotensi.

Majlis pembukaan program telah disempurnakan oleh Datuk Khairudin Abu Hanipah yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak bersama-sama Bavani A/P Veraiah, selaku ADUN Malim Nawar.

Turut hadir bersama Pegawai Daerah Kinta, Zulhisham Ahmad Shukori. Pelepasan peserta telah dibuat oleh Khairudin sekitar pukul 8.30 pagi.

Juara

Pertandingan secara rasminya telah ditamatkan sekitar pukul 12 tengah hari setelah semua peserta menghantar hasil tangkapan ma­­sing-masing. Hasil tangkapan peserta dinilai berdasarkan jumlah tangkapan dengan tangkapan terbanyak tanpa mengira saiz akan menjadi juara.

Program telah diteruskan dengan majlis penyampaian hadiah dan Zulhisham telah menyampaikan ucapan aluan, manakala Bavani pula merasmikan majlis penutup.

Dalam ucapannya Zulhisham sempat menyatakan bahawa pe­­nganjuran program seperti ini amat baik kerana dapat mengeratkan silaturahim serta memberikan pulangan ekonomi kepada ma­­syarakat setempat.

Beliau turut berharap agar program ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan dan dapat dilaksanakan dengan skala yang lebih besar.

Acara ini juga dapat mengajak generasi muda mengenali teknik memancing tradisional.

Peserta dikenali sebagai Rosmani telah berjaya merangkul kejuaraan dengan membawa pulang hadiah RM350 beserta trofi apabila menaikkan sebanyak 20 ekor hasil tangkapan.

Tempat kedua pula jatuh kepada Arip dengan 10 ekor tangkapan dan ketiga Aiman Hakim dengan 9 ekor tangkapan.

Lima orang peserta lain pula membawa hadiah saguhati sebanyak RM50 seorang. Pihak penganjur turut menyediakan hadiah cabutan bertuah.

Penting sekali acara seumpama ini dapat mengeratkan silaturahim antara penduduk sekitar,
di samping memperkenalkan kaedah pancingan tradisional kepada generasi muda.

Tambahan lagi usaha ini dapat memupuk semangat cintakan spesies ikan asli tempatan seperti pipi merah.

Ikan pipi merah

SALAH satu spesies ikan yang menarik perhatian ramai semasa acara berlangsung ialah ikan pipi merah atau nama saintifiknya Systomus rubripinnis. Di dalam bahasa Inggeris, ia dipanggil javean barb.

Sila jangan salah faham, ikan ini tidak sama spesies seperti ikan jelawat pipi merah (Leptobarbus melanopterus) yang terdapat di Kalimantan Indonesia.

Sekitar 30 tahun dahulu, ikan pipi merah ini mudah ditemui di mana-mana kawasan sungai dan lombong terutamanya di se­setengah perairan di Perak, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Johor.

Namun sekarang, ia sukar ditemui berikutan kemusnahan habitat semula jadinya akibat pembangunan, pencemaran dan penjarahan ikan pendatang yang invasif.

Ikan ini mendapat namanya ‘pipi merah’ kerana ada tompokan merah di bahagian penutup insang nya.

Profil badannya memanjang, sekali pandang seolah baby se­barau.

Semua siripnya berwarna oren kemerahan dengan ekor berbelang hitam dan oren kemerahan.

Ikan pipi merah menjadi tumpuan penggemar ikan hiasan kerana warnanya yang cantik dan sisiknya yang berkilau.

Saiz maksimum yang pernah direkodkan ialah 25 sentimeter (9.2 inci), namun yang biasa ditangkap adalah lebih kecil daripada itu.

Ikan ini spesies migratory dengan naik dari sungai besar ke anak sungai yang kecil dan terus ke kawasan berpaya ketika musim banjir, berkemungkinan untuk mengempas telur.

Ia akan kembali semula ke sungai besar ketika air banjir surut.

Di Perak, ikan ini boleh dipancing di Sungai Kinta dan lombong-lombong sekitarnya menggunakan pelbagai umpan seperti dedak, cacing dan cengkerik dengan mata kail saiz kecil.

Terbaik jika anda dapat melepaskan ikan ini ke habitat asalnya untuk mengurangkan risiko kepupusan spesiesnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN