Monsoon Swamp Monster 2026 atau MSM26 membuktikan bahawa aktiviti memancing hari ini semakin diiktiraf sebagai aktiviti yang sihat, berfaedah serta mempunyai nilai sosial, pendidikan dan ekonomi.
Walaupun berteraskan pertandingan memancing, MSM26 lebih bersifat karnival untuk masyarakat. Ia menghimpunkan pelbagai lapisan komuniti melalui kepelbagaian aktiviti yang disediakan, menjadikannya sebuah acara inklusif dan mesra keluarga.
MSM26 bukan sekadar pentas untuk menobatkan pemenang. Ia adalah ruang pertemuan antara pemancing, komuniti setempat, pemain industri, institusi dan agensi yang bersama-sama mengangkat imej pemancing sebagai sebahagian daripada masyarakat yang aktif dan bertanggungjawab.
Sokongan pemimpin masyarakat
Kejayaan MSM26 tidak mungkin dicapai tanpa sokongan kukuh pemimpin dan komuniti setempat. Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Langkap bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bukit Layat menjadi tulang belakang utama penganjuran.
Sokongan yang diberikan bukan sekadar bersifat moral atau simbolik. Sebaliknya, mereka terlibat secara langsung dengan merangka dan melaksanakan aktiviti sampingan bagi memeriahkan suasana.
Antara yang menjadi tumpuan ialah ‘Fun Run De Baruh’, satu acara santai yang berjaya menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.
Penganjuran turut diserikan dengan hadiah cabutan bertuah serta anugerah pakaian paling menarik bagi kategori lelaki dan wanita.
Kehadiran ADUN Langkap, Azmi Maarof mengukuhkan lagi mesej sokongan kerajaan Negeri Terengganu terhadap penganjuran program berteraskan komuniti dan rekreasi.
Sokongan industri
Sebagai komponen utama dalam Recreational Angling Sector (RAS), penglibatan industri peralatan memancing dalam acara sebegini adalah sesuatu yang lazim.
Namun, apa yang membezakan MSM26 ialah dominasi sokongan daripada jenama tempatan sekali gus membuktikan sumbangan pancing rekreasi kepada ekonomi negara.
EXP Fishing tampil sebagai penaja utama MSM26. Selain sokongan dana, EXP turut menghidupkan suasana karnival melalui pelbagai aktiviti interaktif sepanjang program.
Antaranya termasuk perkongsian teknik penghasilan soft frog, pertandingan Cast Target Challenge serta aktiviti mengecat gewang soft frog mengikut kreativiti masing-masing.
Semuanya mendapat sambutan hangat, khususnya dalam kalangan pemancing-pemancing muda.

EXP turut mempamerkan soft frog terbaharu yang masih belum dinamakan. Tiga corak dipertontonkan dengan motif singa dan naga yang sinonim dengan sambutan Tahun Baharu Cina serta corak ketupat untuk Hari Raya Aidilfitri.
Bagi segmen pancingan ultralight, Kanicen Nix turut hadir memeriahkan acara. Pada masa sama, Terengganu Fly Fishing Outfitter juga tidak ketinggalan menyertai program.
Pengasasnya, Christopher John Mcllravy hadir sendiri mengendalikan bengkel mengikat umpan layang dan demonstrasi teknik layangan.
Pengeluar gewang buatan tangan tempatan, Poktam Caster turut menunjukkan sokongan mereka. Dikenali dengan gewang khusus untuk toman dan haruan, kehadiran mereka membuktikan MSM26 berada dalam radar rakan strategik industri tempatan.
Menariknya, MSM26 turut menerima sokongan daripada syarikat bukan berasaskan produk memancing. Antaranya, VCode yang mempromosikan minuman kopi berkarbonat mereka dengan edaran secara percuma kepada pengunjung.
Satu langkah yang menunjukkan keyakinan bahawa komuniti pemancing merupakan segmen pengguna yang signifikan dan berpotensi.
Sokongan Institusi
Selain industri dan komuniti, MSM26 turut disokong oleh pelbagai institusi. Klinik Wildan menyediakan khemah pemeriksaan kesihatan dengan sambutan yang begitu menggalakkan, khususnya dalam kalangan warga emas.
Mereka turut menyediakan aktiviti mewarna untuk kanak-kanak bawah enam tahun. Menyerlahkan lagi mesej kekeluargaan yang diketengahkan oleh penganjur.
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyumbang melalui penglibatan sukarelawan pelajar serta penganjuran aktiviti memancing ikan kertas untuk kanak-kanak.
Aktiviti bertujuan mendidik generasi muda mengenali, menghargai dan menyayangi ikan-ikan tempatan sebagai khazanah warisan negara.
Universiti Kolej Bestari pula membuka reruai bagi mempromosikan program-program pengajian mereka kepada masyarakat setempat.
Kehadiran mereka menunjukkan pemancing bukan kelompok terpinggir, sebaliknya terdiri daripada masyarakat berpengetahuan dan berdaya fikir, selari dengan aspirasi pembangunan insan dan komuniti.
Sementara itu, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu menyelitkan elemen budaya melalui Pertandingan
‘Ngail De Baruh’ bertemakan pakaian dan peralatan memancing tradisional.
Satu pendekatan yang menyerlahkan kepercayaan bahawa pemancing juga berperanan sebagai agen pemeliharaan seni dan warisan bangsa.
Penutup
Penglibatan pelbagai pihak dalam penganjuran MSM26 membuktikan bahawa kehadiran pemancing dalam masyarakat semakin dialu-alukan. Memancing bukan lagi aktiviti yang negatif atau bersifat terpinggir.
Sebaliknya, diiktiraf sebagai medium rekreasi sihat, pendidikan tidak formal dan pemangkin hubungan sosial.
Namun, MSM26 tidak akan sempurna tanpa sokongan padu daripada komuniti pemancing itu sendiri. Penyertaan menggalakkan dalam semua kategori pertandingan menjadi bukti bahawa pemancing kekal sebagai nadi utama acara ini.
Laporan penuh mengenai kate- gori pertandingan, hasil tangkapan, pemenang dan hadiah MSM26 akan menyusul minggu depan.















