LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot berdepan tekanan hebat ketika ini ekoran prestasi tidak menentu pasukannya sehingga dilihat bakal terlepas gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) yang dimenangi musim lalu ketika kali pertama mengemudi kelab itu.
Situasi itu menyebabkan Slot berdepan spekulasi bakal dipecat oleh pihak pengurusan Liverpool sebaik musim ini berakhir, namun dua perkara mampu membantu beliau untuk terus kekal di Anfield.
Pengkritik bola sepak England, Tim Sherwood percaya bahawa dalam usaha mengekalkan tempatnya sebagai pengendali Liverpool selamat, Slot perlu memastikan The Reds memenangi saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim ini atau meraih slot ke saingan itu musim depan.
“Arne Slot akan dipecat sekiranya mereka gagal memenangi UCL musim ini atau memastikan kelab itu layak beraksi dalam saingan tersebut musim depan. Jika salah satu gagal ditunaikan, di akan kehilangan jawatan di Anfield,” katanya.
Musim ini menyaksikan Liverpool cukup kuat dalam saingan Eropah apabila mengakhiri saingan fasa liga di tempat ketiga dan layak ke pusingan 16 terbaik melalui slot automatik.
Bagaimanapun, di Liga Perdana Inggeris mereka berada di kedudukan keenam di belakang Manchester United dan Chelsea, namun hanya memiliki kelebihan lima mata sahaja berbanding pasukan di kedudukan ke-10.
Dua legenda Liverpool, Steven Gerrard mengakui bekas pasukannya berdepan kesukaran musim ini, manakala Jamie Carragher pula bimbang mereka bakal terlepas slot ke saingan UCL musim depan. – AGENSI














