fbpx
DUA suspek yang dipercayai terlibat kes pembunuhan susulan penemuan enam rangka manusia di sebuah rumah terbakar di dalam kebun sawit di Kangkar Pulai, Skudai bulan lalu tiba di Mahkamah Johor Bahru hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

[VIDEO] Rangka manusia: Dua suspek tiba di mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Dua suspek yang disyaki terlibat dalam kes penemuan rangka manusia termasuk lima beranak di sebuah rumah yang terbakar di kawasan kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, Skudai bulan lalu, tiba di Kompleks Mahkamah di sini, untuk menghadapi pertuduhan.

Dua lelaki tempatan itu tiba kira-kira pukul 9 pagi dengan menaiki kenderaan polis diiringi pegawai penyiasat.

Mereka akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali.

Suspek-suspek yang dipercayai mempunyai hubungan sebagai rakan kepada dua mangsa dewasa dilihat memakai pakaian biasa dengan tangan bergari secara berasingan.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dilaporkan berkata, suami kepada seorang daripada mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada 9 Januari lalu, setelah menemui rangka manusia ketika mencari isteri dan anak-anaknya yang dilaporkan hilang.

Susulan penemuan itu, beliau berkata, pasukan patologi forensik dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor menjalankan pemeriksaan dan bedah siasat ke atas rangka yang telah dijumpai di rumah yang terletak berhampiran sebuah kuil terbiar itu.

Katanya, siasatan mendapati enam mangsa itu terdiri seorang wanita dewasa berusia 35 tahun, seorang remaja perempuan 19 tahun, dua kanak-kanak perempuan sembilan dan lima tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dan seorang lelaki dewasa berusia 29 tahun.

Susulan siasatan dan risikan lanjut, polis menahan empat suspek warga tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 dan 35 tahun di sekitar Iskandar Puteri pada 21 Januari lalu bagi membantu siasatan.

Hasil semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI