fbpx
Erwan Shah (tengah) menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh hari ini. Foto oleh TOREK SULONG / KOSMO!

Penyeludup ‘cabut’ lari tinggal 4,700 karton rokok di tebing Sungai Golok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR PUTEH – Sindiket penyeludupan tidak sempat meraih keuntungan hasil jualan sebanyak 4,700 karton rokok bernilai kira-kira RM640,000 termasuk cukai selepas kesemua rokok tersebut ditinggalkan di tebing Sungai Golok dekat Tumpat pada Sabtu lalu.

Penyeludup yang membawa kesemua barangan tersebut dengan bot pancung bertindak meninggalkan rokok-rokok tersebut selepas kegiatan mereka dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kelantan.

Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, anggota penguat kuasa mengesan pergerakan sebuah bot pancung yang dilihat seperti memantau keadaan kawasan Sungai Golok kira-kira pukul 1.30 pagi.

Menurutnya, tidak lama kemudian, sebuah lagi bot pancung didapati memasuki kawasan tersebut dan berhenti di tebing Sungai Golok.

“Kira-kira 30 minit kemudian, bot pancung itu didapati bergerak laju dari arah tebing sungai berhampiran Galeri Tengku Anis menuju ke Tak Bai, Thailand selepas menyedari kehadiran anggota APMM.

“Bot APMM bertindak mengejar bot tersebut, namun mereka gagal dipintas sebelum lolos dan masuk ke perairan Thailand,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat APMM Kelantan, Tok Bali, di sini hari ini.

Erwan Shah memberitahu, anggota APMM kemudian membuat rondaan di kawasan tebing Sungai Golok kira-kira pukul 2.13 pagi sebelum menjumpai 98 kotak mengandungi 4,700 karton atau 940,000 batang rokok. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI