PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik perhatian netizen apabila berseloroh mengenai suasana perbahasan di Parlimen dengan berkongsi lawatan beliau ke zoo.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Anwar berkata, kebelakangan ini nama binatang kerap disebut di Parlimen sehingga mendorong beliau melawat zoo untuk meninjau sendiri binatang-binatang berkenaan.
“Berat betul cabaran di Parlimen kebelakangan ini, nama binatang kerap benar disebut. Jadi semalam saya masuk zoo jalan-jalan dengan para pengunjung lain, sekadar meninjau binatang-binatang yang disebut,” tulis beliau.
Hantaran tersebut turut disertakan emoji monyet, harimau, burung, ular dan kura-kura selain tanda pagar Tahun Melawat Malaysia.
Kenyataan berunsur jenaka itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen dengan ramai menyifatkannya sebagai sindiran halus, namun tajam berhubung perbahasan di Parlimen.
Kenyataan itu juga dianggap mencerminkan nada sindiran ringan oleh Perdana Menteri terhadap suasana perbahasan politik yang semakin hangat. – KOSMO! ONLINE














