fbpx
KRISIS di Iran kini semakin genting dengan persoalan adakah nasib Khamenei (kanan) seperti Maduro.

Adakah nasib Khamenei seperti Maduro?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERANG Iraq yang berlaku antara tahun 2003 hingga 2011 termasuk operasi Washington menghapuskan militan Daesh menyaksikan angka korban begitu besar antara 285,000 hingga 315,000 termasuk sekurang-kurangnya 210,000 orang awam.

Tentera Amerika Syarikat(AS) pula merekodkan 4,488 kematian dan terpaksa menanggung kos perang lebih AS$2 trilion (RM7.8 trilion).

Ia adalah harga sangat tinggi yang perlu dibayar Presiden AS ketika itu, George W Bush untuk menggulingkan diktator Iraq, Saddam Hussein dan merealisasikan objektif pertukaran rejim di Baghdad.

Pertukaran rejim di Asia Barat di negara-negara yang memusuhi Israel adalah matlamat berterusan Washington, walaupun melibatkan banyak kematian dan melupuskan sumber kewangannya.

Cubaan menukar pentadbiran di negara-negara yang dilabel ‘hostile’ terhadap AS sentiasa menjadi agenda utama dasar luar Washington tanpa mengira siapa pun Presidennya sama ada daripada Parti Demokrat mahupun Parti Republikan.

Bagaimanapun, Presiden Donald Trump pada penggal kedua pemerintahan beliau melakukan usaha tersebut secara ‘sangat luar biasa’, tanpa korban yang besar.

Pada 2 Januari lalu sekitar pukul 2 pagi (waktu tempatan), AS melancarkan serangan udara berskala besar dan operasi darat di ibu negara Venezuela, Caracas.

Tentera Amerika menawan Presiden Nicolas Maduro serta isteri, Cilia Flores dan membawa mereka ke New York untuk berdepan pertuduhan keganasan narkotik serta penyeludupan dadah.

Apa yang luar biasa adalah AS tidak melaporkan sebarang kematian dalam kalangan askarnya, manakala pertukaran rejim Caracas dibuat dalam masa tidak sampai 24 jam.

Menurut beberapa laporan, sekurang-kurangnya 80 kematian termasuk 47 anggota tentera Venezuela dan 32 pegawai perisikan Cuba berlaku, jauh lebih kecil berbanding operasi serupa Amerika di Asia Barat.

Operasi itu juga ‘menakjubkan’ kerana kehadiran tentera AS tidak menerima tentangan kuat pasukan keselamatan Venezuela sedangkan negara Amerika Selatan itu memiliki ratusan peluru berpandu, kebanyakannya buatan Russia seperti S-300VM

Trump sendiri memuji kejayaan askar AS menawan Maduro kepada penggunaan buat pertama kali senjata rahsia dikenali sebagai ‘Discombobulator’ yang boleh mematikan sistem pertahanan dan peluru berpandu musuh.

Operasi tersebut menyebabkan dunia tertanya-tanya adakah Washington benar-benar memiliki senjata yang begitu hebat?

Sekiranya benar, adakah pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei akan menerima nasib yang sama seperti Maduro?

Semua ini berkemungkinan dan dunia sedang menanti langkah Trump seterusnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN