PETALING JAYA – Tular di TikTok satu hantaran yang mencetuskan rasa seram dalam kalangan pengguna media sosial apabila kelibat pocong muncul pada waktu malam, di hujung lorong sebuah kawasan perumahan.
Menerusi perkongsian pemilik akaun TikTok @Ellyellielliy, gambar itu diambil dari rumah kakak iparnya yang terletak betul-betul bertentangan dengan kelibat tersebut.
Katanya juga, kelibat berwarna putih dan berbalut seperti pocong itu muncul betul-betul di pelepah pokok kelapa yang terletak di hujung lorong.
“Cuba cari apa yang anda nampak. Tiada rakaman sebab ni dari rumah kakak ipar saya. Nampak pun dah ‘shaking’ (menggigil), apatah lagi nak rakam. Maafkan dia ya. Dia pun tak boleh tidur. Kalau ada lagi saya suruh rakam.
“Siang pelepah kelapa. Malam malam jadi Cik Cong,” tulisnya.
Sementara itu, individu yang dipercayai pemilik rumah turut tampil meninggalkan komen, mengakui perasaan takut semakin menghantui sejak merakam imej tersebut.
“Aaaa tak nak nampak dah. Seram sekarang nak buka pintu pun takut,” tulis Niza.
Setakat ini, lokasi sebenar kejadian tidak dinyatakan, namun netizen terus berteori dengan mengandaikan kelibat pocong gemar muncul di pokok kelapa.
“Hari tu yang tular di Johor pun sama, nampak kelibat Cik Cong dekat pelepah kelapa,” tulis Hani.
“Pokok kelapa tu memang tempat kesukaan dialah. Hati-hati kak, malam tak perlu buka pintu dah,” komen Syakir pula. – KOSMO! ONLINE














