BALIK PULAU – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila kaki kanannya dilaporkan tersepit pada celahan penutup longkang dalam kejadian di Taman Titi Height di sini, hari ini.
Mangsa berusia 48 tahun mengalami kecederaan luka pada paha dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada 12.41 tengah hari tadi dan kemudiannya bergegas ke lokasi terbabit.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat
(BBP) Balik Pulau dengan diketuai Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II, Mohd. Ferdaus Ishak.
“Insiden melibatkan seorang mangsa wanita yang telah tersepit kaki pada celahan penutup longkang.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak melakukan kerja-kerja penyelamatan dan berjaya mengeluarkan kaki mangsa tersebut. Mangsa kemudian diserahkan kepada waris yang turut berada di lokasi kejadian untuk dibawa ke hospital berdekatan,” katanya di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE














