MAHASISWA institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara sudah tentu akan mengeluarkan banyak belanja setiap kali bermulanya semester baharu.
Jika mahasiswa tidak layak untuk tinggal di kolej atau asrama yang disediakan IPT, sewa rumah bersama rakan-rakan sudah tentu menjadi salah satu kos yang perlu difikirkan selain makan dan minum.
Selain itu, kos untuk menyiapkan tugasan atau persediaan sepanjang pengajian sudah tentu menjadi tumpuan utama.
Justeru, kos sara hidup mahasiswa tidak boleh dianggap sebagai isu remeh dan ia memerlukan penyelesaian yang kukuh kerana kelahiran golongan intelektual yang bakal memimpin negara sudah tentu digilap daripada peringkat IPT.
Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini melaporkan, inflasi bagi kumpulan pendidikan mencatatkan peningkatan 2.6 peratus pada November 2025 daripada 2.4 peratus pada bulan sebelumnya.
Ia menunjukkan kos pendidikan mampu memberi tekanan kepada ekonomi sehingga boleh memberi kesan kepada mahasiswa di IPT.
Bagaimanapun, golongan mahasiswa pada 5 Januari lalu mendapat berita gembira apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM15 juta bagi memperkukuh pelaksanaan inisiatif makanan percuma dan bank makanan Dapur Siswa Madani di semua IPT.
Mengulas mengenai kos sara hidup mahasiswa, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Kelantan (MPPUMK), Saiful Azam Shamsul Amir berkata, kos sara hidup yang semakin meningkat memberi kesan langsung kepada kehidupan mahasiswa daripada keluarga berpendapatan rendah.
Menurutnya, kenaikan harga makanan, kos pengangkutan, keperluan peranti pembelajaran dan perbelanjaan harian menjadikan isu kebajikan yang tidak boleh dipandang ringan.
“Ini merupakan realiti kehidupan seharian yang dihadapi oleh sebahagian pelajar IPT.
“Di sebalik pencapaian akademik dan kecemerlangan kokurikulum yang menjadi kebanggaan universiti, masih terdapat mahasiswa yang berdepan cabaran asas meneruskan pengajian dengan bermaruah.
“Kebajikan mahasiswa bukan isu sampingan, sebaliknya merupakan asas penting yang menyokong kesejahteraan akademik, kesihatan mental dan pembentukan sahsiah mahasiswa secara menyeluruh,” katanya.
Tambahnya, MPPUMK turut memainkan peranan aktif menerusi pelaksanaan inisiatif MPP Prihatin yang menjadi satu pendekatan kebajikan yang berpaksikan kepada keperluan sebenar mahasiswa.
Menurutnya, menerusi inisiatif itu, pihaknya memperkenalkan program Meal-Kit, Sedekah Jumaat, Agihan Kotak Makanan, inisiatif Roti On The-Go dan Bantuan Kesejahteraan Mahasiswa untuk membantu meringankan beban pelajar di UMK.
“Selain itu, MPPUMK turut menyokong pelaksanaan inisiatif Siswa Care iaitu satu usaha kebajikan berterusan UMK yang digerakkan melalui Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.
“Mahasiswa UMK bukan sekadar penerima bantuan, tetapi merupakan rakan strategik universiti membina ekosistem kampus yang lestari, inklusif dan berteraskan nilai kemanusiaan.
“Pelaburan dalam kebajikan mahasiswa wajar dilihat sebagai jangka masa panjang bagi melahirkan graduan yang seimbang daripada segi akademik, emosi dan sosial,” ujarnya.
Tambahnya, kebajikan mahasiswa bukan sekadar retorik, sebaliknya satu amanah agar tiada lagi mahasiswa bergelut dalam senyap.














