KUALA LUMPUR – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) nyaris maut selepas terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan tujuh buah rumah di Jinjang di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.34 tengah hari itu, mangsa yang berusia 41 tahun berjaya diselamatkan anggota bomba selepas mengalami sesak nafas dan melecur di bahagian kaki.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, pihaknya yang tiba di lokasi kejadian mendapati kejadian melibatkan tujuh buah rumah dan menyebabkan kemusnahan 100 peratus.
“Pasukan bomba melaksanakan teknik pemadaman secara offensive dan defensive bagi mengelakkan api merebak ke premis berhampiran. Kebakaran dapat dikawal pada pukul 2.34 petang sebelum dipadamkan sepenuhnya pukul 3.37 petang.
“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Selayang menggunakan jentera EMRS dan menerima rawatan di Zon Kuning. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Tambahnya, operasi pemadaman melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang dengan dibantu BBP Menjalara, BBP Jalan Hang Tuah dan BBP Sri Hartamas. – KOSMO! ONLINE














