JOHOR BAHRU – Sebanyak 3,164 sekolah di seluruh negara diklasifikasikan sebagai sekolah kurang murid (SKM) iaitu kurang daripada 150 pelajar, setakat November tahun lalu.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 3,038 buah sekolah yang direkodkan pada 2024.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, walaupun dikategorikan sebagai SKM, sekolah berkenaan akan terus diberi perhatian oleh kementerian dan tiada yang akan ditutup.
Katanya, dalam masa yang sama, terdapat jugak sekolah yang berlaku kepadatan pelajar sehingga terpaksa beroperasi bagi dua sesi iaitu pada waktu pagi dan petang.
“Kementerian Pendidikan (KPM) turut mengambil pendekatan dengan memindahkan sekolah seperti dilakukan hari ini membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Central Site dari Ladang Gomali, Segamat ke Taman Ekoflora.
“Sekolah ini hanya mempunyai lima murid sahaja, dan mereka bukan dari kawasan Ladang Gomali itu sebaliknya dihantar dari kawasan luar, ini dilihat tidak praktikal dan sudah tidak dapat menarik kehadiran murid,” katanya di Majlis Pecah Tanah SJKC Central Site di Taman Ekoflora, di sini hari ini.
SJKC Central Site itu yang menelan kos RM20 juta dan dijangka siap pada penggal kedua pada tahun depan.
Kah Woh berkata, lima murid di sekolah SJKC Ladang Gomali itu akan dipindahkan ke SJKC yang berhampiran dan sekolah itu akan ditutup setelah SJKC Central Site di lokasi baharu memperoleh sijil perakuan siap. – KOSMO! ONLINE














