fbpx
KOH YAW (kiri) dan Kim Chu didakwa di Mahkamah Sesyen Kluang hari ini atas pertuduhan memiliki pistol, peluru serta dadah. Foto oleh ADNAN IBRAHIM/KOSMO!

Laki bini didakwa miliki pistol, peluru serta dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLUANG – Sepasang warga emas mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memiliki senjata api dan peluru tanpa kebenaran sah serta memiliki dadah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Koh Yaw, 63, dan isterinya, Ong Kim Chu, 64, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mujib Saroji.

Kedua-dua tertuduh secara bersama didakwa memiliki sepucuk senjata api jenis revolver .38 SPL jenama Taurus Brasil tanpa kebenaran yang sah, selain turut didakwa memiliki amunisi iaitu 33 butir peluru .38 SPL tanpa kebenaran yang sah.

Pasangan suami isteri itu juga berhadapan satu lagi pertuduhan memiliki dadah jenis cannabis dengan anggaran berat kasar 84.54 gram.

Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan 3/2, Taman Sri Kluang pada 22 Jan lepas, kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan juga sebatan tidak kurang daripada enam kali.

Mereka juga didakwa di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan memiliki dadah, mereka didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta yang sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ramizah Razli, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Mujib Saroji tidak membenarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dan menetapkan 27 Feb depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN