BANGKOK – Seorang wanita Thailand meminta polis memperketatkan langkah keselamatan selepas seorang lelaki meraba payudaranya di tepi sebatang jalan di Pattaya, lapor portal berita Thaiger semalam.
Lelaki itu kemudian melarikan diri dengan menunggang motosikal pada waktu pagi, Jumaat lalu.
Dua wanita lain tampil berkongsi pengalaman serupa, dengan seorang daripada mereka mendakwa dia diganggu oleh suspek yang sama.
Salah seorang mangsa dikenali sebagai Bee, 35, berkongsi rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) kejadian itu di media sosial bagi memberi amaran kepada wanita lain supaya lebih berwaspada.
Bee berkata, pada hari kejadian, dia menuju ke perhentian bas untuk ke tempat kerjanya di pantai Pattaya tetapi masih belum membuat laporan polis.
Sementara itu, seorang wanita lain memberitahu laman Facebook berita tempatan bahawa dia dihendap seorang lelaki bermotosikal pada hari sama.
Menurutnya, lelaki itu mengikutinya dari sebuah kedai serbaneka di kawasan Nong Yai, Chon Buri, sehingga ke asramanya.
Dia percaya lelaki itu adalah suspek yang sama dalam kes raba tersebut kerana menunggang motosikal dan berpakaian hampir serupa.
Mangsa terbaru ini telah membuat laporan polis. – AGENSI














