fbpx
PENJAWAT awam disaran membuat simpanan untuk kegunaan masa depan. - GAMBAR HIASAN

Kenaikan gaji bukan ‘lesen’ tambah hutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penjawat awam yang baru menikmati kenaikan gaji dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang pinjaman baharu sekiranya tiada sebarang keperluan mendesak atau kecemasan.

Pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, penjawat awam sepatutnya memanfaatkan kenaikan gaji ini dengan membuat simpanan jangka panjang yang lebih berfaedah.

“Jumlah pinjaman isi rumah ketika ini hampir menyamai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Ini petanda yang membimbangkan kerana tahap hutang rakyat sudah terlalu tinggi.

“Naik gaji sepatutnya mengukuhkan simpanan, bukan menambah beban kewangan. Kenaikan gaji tidak boleh dijadikan alasan untuk menambah hutang baharu,” katanya kepada Kosmo!.

Menurutnya, taraf hidup rakyat Malaysia kini setara de­ngan Amerika Syarikat, namun realitinya pendapatan masih berada pada tahap kelas menengah rendah.

Katanya, walaupun Bank Dunia mengklasifikasikan kehidupan rakyat Malaysia sebagai kelas menengah atas, kedudukan sebenar pendapatan tidak selari dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Kuasa membeli memang tinggi, tetapi rakyat perlu ingat kepentingan simpanan. Jangan habiskan pendapatan hanya ke­rana mampu berbelanja,” katanya.

Beliau juga menyarankan rakyat Malaysia termasuk penjawat awam menubuhkan tabung wakaf keluarga dengan menyerahkan simpanan kepada ketua keluarga sebagai langkah mengelakkan masalah kekurangan wang simpanan dalam jangka panjang.

Katanya, kaedah itu mampu membantu keluarga mengurus kewangan secara lebih berdisiplin, sekali gus mengelakkan tabiat berbelanja berlebihan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN