KUALA LUMPUR – Jumlah guru bersara pilihan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menunjukkan trend penurunan tahun lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pada tahun 2025 seramai 4,271 guru memilih bersara awal berbanding tahun 2024 seramai 5,082 orang.
“Trend pengambilan guru pula menunjukkan peningkatan pada tahun 2025 membabitkan seramai 20,173 guru telah diambil berbanding tahun 2024 seramai 13,983 orang.
“Kadar pengisian jawatan guru terkini di seluruh negara dapat menstabilkan ekosistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS–Sri Aman) mengenai trend perubahan jumlah guru termasuk statistik persaraan awal dan pengambilan baharu.
Menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota), Fadhlina berkata, pelaksanaan program intervensi sehingga 30 November tahun lalu menunjukkan 388,770 daripada 437,406 murid tahun satu iaitu 88.88 peratus telah berjaya menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M)
Selain itu, beliau memaklumkan sehingga akhir sesi akademik 2025/2026, seramai 2,179,607 daripada 2,247,098 murid tahun dua hingga tahun enam atau 97 peratus telah menguasai kemahiran asas 3M.
Bagaimanapun, katanya, masih terdapat 1,929 murid Tahun 6 atau 1.45 peratus belum menguasai sepenuhnya kemahiran asas itu dan akan terus mengikuti Program Pemulihan Khas sebelum melangkah ke peringkat menengah. – KOSMO! ONLINE














