KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP) Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Razali Alias tiba di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi.
Beliau yang berpakaian sut berwarna coklat tiba pada pukul 8.34 pagi diiringi anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Melaysia (SPRM).
Semalam media melaporkan Mohd. Razali merupakan antara bebebapa individu berprofil tinggi yang akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pelbagai pertuduhan hari ini.
Semakan laman web mahkamah menunjukkan, Mohd. Razali akan didakwa di Mahkamah Sesyen 14 di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Menurut kenyataan SPRM selain Mohd. Razali seorang pegawai kanan tentera juga akan didakwa di ibu negara, seorang penjawat awam dan seorang individu bergelar Datuk.
Kenyataan itu menyebut, agensi berkenaan telah mendapat izin untuk mendakwa mereka berkaitan siasatan Ops Nature dan Ops Pump baru-baru ini.
Op Nature sebelum ini dijalankan secara serentak oleh SPRM Selangor dan SPRM Negeri Sembilan di dua lokasi, iaitu Klang, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan pada 20 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE














