KUALA LUMPUR – Kegiatan pengedaran dadah yang dijalankan sejak enam bulan lalu akhirnya terbongkar apabila dua buruh kasar warga asing ditahan dalam satu serbuan di Kompleks Pasar Borong Selayang, di sini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, tangkapan dilakukan pada 23 Januari lalu kira-kira pukul 10.15 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
Menurut beliau, seorang lelaki warga Myanmar berusia 26 tahun ditahan di kawasan anak tangga di Kompleks Pasar Borong Selayang.
“Hasil pemeriksaan badan terhadap suspek pertama tidak menemui sebarang barang salah. Namun, suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah di alamat kompleks sama,” katanya pada sidang akhbar di IPD Sentul, di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan di dalam bilik pertama rumah berkenaan membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki warga Myanmar yang sedang berbaring di dalam bilik tersebut.
“Hasil pemeriksaan lanjut menjumpai empat kotak mengandungi 95 botol cecair disyaki ubat batuk mengandungi kodein, selain satu peket plastik berisi dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 53.79 gram di atas lantai berhampiran suspek kedua,” ujarnya.
Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah, manakala semakan rekod jenayah lampau mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan terdahulu.
“Kedua-dua suspek bekerja sebagai buruh kasar di pasar borong dan tidak mempunyai pekerjaan tetap. Mereka direman selama tujuh hari bermula 23 hingga 29 Januari ini bagi membantu siasatan. Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti ahli sindiket lain serta sumber bekalan dadah,” katanya. – KOSMO! ONLINE














